sukan

Piala ASEAN : Skuad Garuda turunkan 11 pemain utama dilahirkan di luar Indonesia

Indonesia mencipta sejarah tersendiri pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 apabila menurunkan kesebelasan utama yang semuanya pemain kelahiran luar negara ketika menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), malam tadi.

Kesemua 11 pemain skuad Garuda yang memulakan perlawanan itu dilahirkan di luar Indonesia. Lapan daripada mereka lahir di Belanda, manakala masing-masing seorang dilahirkan di Amerika Syarikat, Australia dan Thailand.

Pendekatan Indonesia itu jelas berbeza dengan Harimau Malaya yang membuka kempen menerusi kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh. Dalam kesebelasan utama Malaysia, tiga pemain kelahiran tempatan diturunkan iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Haziq Nadzli.

Selebihnya barisan utama negara diperkuatkan pemain berdarah warisan dan naturalisasi, termasuk Dion Cools, Corbin-Ong, Stuart Wilkin, Nooa Laine, Manuel Hidalgo, Brad Tapp dan Bergson da Silva.

Walaupun menggunakan pendekatan berbeza dalam pembentukan pasukan, kedua-dua negara berjaya memulakan saingan dengan keputusan positif dan masing-masing meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan A.

Bagi Malaysia, Arif Aiman menjadi watak utama ketika menewaskan Bangladesh apabila meledak dua gol. Bergson pula menandakan penampilan pertamanya selepas dinaturalisasikan dengan membuka akaun jaringan di pentas antarabangsa.

Tumpuan kini beralih kepada pertembungan Isnin ini antara Malaysia dan Indonesia, satu ujian yang dijangka lebih getir buat Harimau Malaya apabila berdepan skuad Garuda yang tampil dengan kesebelasan penuh pemain kelahiran luar negara.

Dalam konteks perlawanan itu, GBK mempunyai sejarah tersendiri buat Cheng Hoe. Pengendali kelahiran Kedah itu pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Malaysia sebagai penolong jurulatih ketika final Piala AFF 2010, apabila negara menjulang trofi selepas menewaskan Indonesia menerusi agregat di pentas final.

Rekod positif Cheng Hoe di venue sama berterusan pada 2019 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Ketika bergelar Ketua Jurulatih Harimau Malaya, beliau membawa Malaysia mengejutkan Indonesia 3-2 di GBK di hadapan kira-kira 80,000 penyokong tuan rumah.

Kemenangan dalam pertembungan Isnin ini akan membawa salah satu pasukan ke kedudukan lebih selesa di tangga teratas kumpulan, selain membuka peluang lebih cerah untuk mara ke final dan berdepan juara Kumpulan B.

Secara keseluruhan, Malaysia dan Indonesia sudah bertemu 85 kali di pentas antarabangsa sejak pertemuan pertama pada 7 September 1957. Harimau Malaya merekodkan 34 kemenangan, 18 seri dan 33 kekalahan sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan memihak kepada Indonesia apabila skuad Garuda menang 4-1 ke atas Malaysia dalam saingan Piala AFF di Singapura pada 2021.