sukan

Piala Asia B-23 2026: Berita baik untuk skuad B-23 negara

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mendapatkan semula khidmat tiga pemain utama menjelang saingan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand dari 3 hingga 9 September ini.

Tonggak pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney sebelum ini tidak disenaraikan oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain dalam kem latihan pusat di Thailand yang bermula sejak 18 Ogos.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun hari ini mengesahkan ketiga-tiga mereka berada dalam senarai akhir 23 pemain skuad Harimau Muda yang bakal berdepan cabaran getir pasukan tuan rumah, Lubnan dan Mongolia.

Muhammad Ubaidullah dilaporkan telah menyertai sesi latihan pasukan sejak awal minggu lepas sementara Muhammad Aliff dan Fergus dijangka melengkapkan skuad dalam tempoh terdekat selepas kedua-duanya disenaraikan dalam pasukan masing-masing bagi aksi Liga Super minggu ini.

Kehadiran Muhammad Ubaidullah dan Muhammad Aliff, iaitu dua pemain yang diberi tanggungjawab sebagai kapten sebelum ini dijangka mengukuhkan struktur pasukan dari aspek pengalaman dan kepimpinan di atas padang sementara Fergus mampu menambah sengat di bahagian serangan.

Skuad bimbingan Nafuzi akan membuka kempen menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum berdepan Thailand dalam aksi terakhir (9 September) dengan kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thammasat.

Hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.

Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dilihat sebagai medan ‘penebusan’ skuad B-23 selepas anak buah Nafuzi tampil dengan persembahan mengecewakan pada saingan Piala ASEAN B-23 apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke Piala Asia B-23 pada edisi 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Berikut senarai 23 pemain skuad B-23 kebangsaan kendalian Nafuzi Zain bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Thailand dari 3 hingga 9 September:

PENJAGA GOL:

Zulhilmi Sharani
Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri
Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa

PERTAHANAN:

Muhamad Faris Danish Mohd Asrul
Moses Raj
Ahmad Haziq Kutty Abba
Muhammad Akmal Hakim Rosli
Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili
Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri

TENGAH:

Muhammad Shafizan Mohamad Arshad
Ziad El Basheer Norhisham
Danish Hakimi Sahaludin
Muhammad Abu Khalil
Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon
Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil
Muhammad Alif Ahmad
Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi

PENYERANG:

Fergus Tierney
Muhammad Aliff Izwan Yuslan
Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin
Muhammad Haqimi Azim Rosli
Muhammad Aiman Danish Abd Aziz
Muhammad Syukur Fariz Januri