sukan

Piala Dunia Kelab kurang sambutan

ORLANDO: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali lagi dimalukan apabila hanya 600 peminat menghadiri perlawanan Piala Dunia Kelab di stadium yang berkapasiti 25,500.

Kejohanan yang menyaksikan pertambahan pasukan buat pertama kali diharap dapat pertandingan utama di peringkat antarabangsa, namun sambutannya mengecewakan.

Perlawanan pertama Chelsea menentang tuan rumah, Los Angeles FC di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, Georgia pada Isnin lalu hanya dihadiri 22,000 penonton dalam stadium berkapasiti 75,000 itu.

Tiket dijual serendah 38 pound (RM216.96) tetapi masih tidak mendapat sambutan sehingga terpaksa dikurangkan hampir separuh daripada harga asal.

Penganjur juga terpaksa meminta penonton untuk memenuhi kerusi di bahagian hadapan supaya tidak kelihatan kosong di dalam televisyen.

Hanya perlawanan pembukaan Inter Miami yang menampilkan bintang Argentina, Lionel Messi menyaksikan 60,000 daripada 65,000 tempat duduk di Hard Rock Arena Miami dipenuhi – selepas harga tiket dikurangkan.

Pendapatan daripada jualan tiket mungkin tidak seperti diharapkan, tetapi pasukan-pasukan bertanding akan tetap memperoleh hasil lumayan daripada kejohanan berkenaan.

Bagi pasukan Eropah, 20 juta pound (RM114.19 juta) sudah dijamin hanya dengan menyertai kejohanan itu.

Bagi setiap kemenangan di peringkat kumpulan, kelab akan dibayar 1.5 juta pound (RM8.56 juta) dan 800,000 pound (RM4.56 juta) untuk setiap keputusan seri.

Jumlah bayaran akan terus meningkat bagi kemaraan ke setiap peringkat. – AGENSI