Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya bersuara selepas skuad negara itu tersingkir daripada Piala Dunia, namun beliau memilih untuk tidak mengulas langsung mengenai kekalahan tersebut, walaupun sebelum ini mencetuskan kontroversi besar.
Amerika Syarikat dibelasah Belgium 1-4 pada pusingan 16 terbaik di Seattle, hanya beberapa jam selepas Trump mengakui beliau menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi meminta hukuman kad merah penyerang Folarin Balogun dikaji semula.
Walaupun sebelum perlawanan beliau dilihat memberi sokongan penuh kepada pasukan AS, Trump langsung tidak menyentuh kekalahan memalukan itu dalam kenyataan selepas perlawanan. Sebaliknya, beliau memuji kekuatan AS sambil mendakwa tiada negara lain yang mampu menandingi negaranya.
“Tentera Amerika Syarikat tidak pernah menjadi sekuat dan sehebat ini. Tiada negara lain yang mampu melakukan apa yang kami lakukan, malah mereka langsung tidak hampir menyamai kami,” tulis Trump menerusi platform Truth Social.
“Tahun ini kami sekali lagi mencatat rekod bersejarah dalam pengambilan anggota tentera, beberapa bulan lebih awal daripada jadual. Semangat anggota tentera juga berada pada tahap tertinggi.
“Kekuatan luar biasa tentera kami dipamerkan sepenuhnya ketika sambutan ulang tahun ke-250 Kemerdekaan Amerika Syarikat dan, seperti negara kami, Jabatan Perang tidak pernah menjadi sehebat ini.
“Kita perlu mengekalkan keadaan ini. Sebab itu, apabila Kongres kembali bersidang, kita mesti meluluskan Reconciliation 3.0 dengan peruntukan AS$350 bilion untuk pertahanan, selain meluluskan Akta Save America.”
Trump kemudian meneruskan perbincangan mengenai Akta Save America tanpa menyebut langsung penyingkiran AS daripada Piala Dunia.
Kekalahan itu hadir selepas perbualan telefon beliau dengan Infantino berhubung hukuman kad merah yang dikenakan ke atas penyerang utama skuad kebangsaan Amerika Syarikat.
Trump dilaporkan menggesa Infantino mempertimbangkan semula kad merah yang diterima Balogun ketika aksi pusingan 32 terbaik menentang Bosnia dan Herzegovina.
Mengikut peraturan, Balogun sepatutnya menjalani penggantungan automatik satu perlawanan dan terlepas aksi menentang Belgium.
Bagaimanapun, selepas perbincangan menerusi telefon antara Trump, Andrew Giuliani dan Infantino, hukuman itu ditangguhkan.
FIFA mengesahkan pada Ahad (5 Julai) bahawa penggantungan tersebut ditangguhkan sekali gus membolehkan penjaring utama Amerika Syarikat itu diturunkan menentang Belgium, namun kehadirannya gagal mengelakkan pasukan itu daripada tersingkir.