sukan

Piala Dunia Sepak Takraw : Skuad sepak takraw negara sasar tiga aksi final

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun sedia menyahut cabaran untuk memastikan skuad negara mara ke final dalam ketiga-tiga acara pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, dari 16 hingga 23 Mei ini.

Tiga acara yang dimaksudkan itu ialah regu, regu berpasukan dan kuadran, selari dengan sasaran diletakkan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan.

Menurut Ahmad Jais, fokus utama pasukan ketika ini bukan sahaja mengekalkan kekuatan acara regu dan regu berpasukan, malah memperkemaskan lagi prestasi skuad kuadran yang dianggap masih belum berada pada tahap terbaik.

Katanya, barisan pemain bagi acara regu berpasukan dikekalkan membabitkan 12 pemain yang beraksi pada Sukan Sea Thailand 2025 sebelum ini, namun ada sedikit rombakan posisi dan juga tambahan pemain dalam acara kuadran.

Ahmad Jais mengakui prestasi skuad kuadran menunjukkan peningkatan positif sepanjang kem latihan pusat, namun masih ada beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan sebelum kejohanan bermula.

“Kami rasakan prestasi pemain pasukan kuadran perlu diperkemaskan lagi berbanding ketika di Sukan Sea kerana kali ini kita akan beraksi di gelanggang sendiri. Saya lihat prestasi pemain kuadran ada peningkatan, tetapi bagi saya belum cukup lagi,” katanya.

Beliau berharap minggu terakhir latihan mampu menjadi medan terbaik untuk pemain meningkatkan keserasian selain memperbaiki kelemahan teknikal dan taktikal.

“Harap pada minggu terakhir latihan pasukan negara, kita akan lihat mereka dapat meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas sasaran mara ke final bagi acara kuadran, Ahmad Jais optimis anak buahnya mampu memberikan tentangan lebih sengit berbanding aksi di Sukan Sea lalu.

“Saya percaya pasukan kuadran kita mampu memberikan saingan yang lebih baik berbanding prestasi pada Sukan Sea tempoh hari. Sama-samalah kita mendoakan pasukan kuadran negara mampu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi pada saingan kali ini,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi 2024 lalu, Malaysia berjaya muncul juara dalam acara regu serta beregu dan muncul naib juara dalam acara regu berpasukan.

Namun, pada Piala Dunia kali ini, acara regu dan regu berpasukan masih dipertandingkan manakala acara beregu digantikan dengan kuadran.

Malaysia selaku juara bertahan dalam acara regu diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura.

Sementara itu, regu berpasukan berada Kumpulan B bersama India dan Myanmar dan bagi skuad kuadran negara pula diundi dalam Kumpulan C bersama India, Korea Selatan serta Singapura.