JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Sultan ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan JDT akan menentang pasukan Liga A1 Semi Pro, Universiti Malaysia di pentas suku akhir.
Pada perlawanan sebentar tadi, pengendali JDT, Hector Bidoglio melakukan rombakan terutama di posisi benteng pertahanan apabila mempertaruhkan gandingan Shahrul Saad dan Shane Lowry mengemudi benteng tengah buat pertama kali selain penampilan Murilo Henrique mengisi posisi Corbin Ong di bahagian kiri.
Malah kelibat Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan sehingga terlepas tugasan bersama skuad Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tersenarai selaku pemain simpanan pada perlawanan itu.
Tuan rumah terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-13 selepas bola umpanan Fernando Forestieri yang membuka ruang buat Juan Muniz melakukan sepakan lencong, namun bola sekadar melewati palang gol.
Ketika aksi babak pertama berbaki seminit, JDT akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi jaringan yang disumbang Forestieri.
Bersambung babak kedua, JDT tampak meningkatkan intensiti permainan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-51, namun percubaan Forestieri diselamatkan Mohd Muhaimin.
Insiden kekasaran Umeir Aznan terhadap Forestieri pada minit ke-58 di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail menyemak video bantuan pengadil (VAR) dan hasilnya JDT dihadiahkan sepakan penalti.
Sepakan penalti diambil Muniz berjaya ditepiskan keluar Mohd Muhaimin, namun pemain gantinan Romel Morales yang berada di posisi terbaik bertindak melakukan tindakan susulan untuk menjaringkan gol kedua buat JDT.
JDT terus selesa mendahului pada minit ke-81 selepas bola umpanan Muniz tepat kepada pemain gantian, Francisco Geraldes yang bertindak memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum merembat tepat ke penjuru kiri gawang.
sumber:-BH
VAR sekali lagi memainkan peranan selepas mengesan kekasaran yang dilakukan Nasrol Amri Kamarul Azhar terhadap Arif Aiman pada minit akhir permainan yang menyaksikan JDT diberikan sepakan penalti dan peluang itu tidak dilepaskan pemain berusia 22 tahun itu untuk memastikan kemenangan 4-0 memihak JDT.