sukan

Piala FA: kami masih belum selamat – Nafuzi

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu memastikan ruang pertahanannya lebih kukuh pada aksi suku akhir kedua saingan Piala FA menentang Penang FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Menurut pengendalinya, Nafuzi Zain, percaturan pada suku akhir kedua di laman sendiri ini adalah bagi memastikan Kedah tidak dibolosi selepas hanya mendapat bekalan tipis dengan satu gol pada aksi suku akhir pertama.

“Bagi memastikan peluang melangkah ke separuh akhir, kami perlu dapatkan kemenangan dan mengukuhkan lagi benteng pertahanan bagi mengelak daripada dibolosi pada aksi kedua ini.

“Penang FC yang kita ketahui memilki gerakan serangan yang laju dan ini mampu memberi ancaman buat benteng kami, oleh itu saya mahu semua pemain supaya lebih berwaspada bagi mengelak sebarang kelekaan dalam aksi yang dijangka sengit.

“Kami perlu turun habis-habisan dan beri fokus terbaik sepanjang aksi ini. Dengan sokongan moral yang akan diberikan penyokong, saya berharap kami akan mendapat lebih keyakinan ketika beraksi nanti,” kata Nafuzi.

Menurut Nafuzi, dalam tempoh persediaan yang sedang dilakukan sebelum hari perlawanan, beliau memantau semua aspek kelemahan di semua posisi bagi bagi memastikan setiap perancangan dapat ditingkatkan lagi berbanding aksi suku akhir pertama.

“Kami perlu lihat kembali setiap aspek kelemahan yang perlu diatasi kerana dengan keputusan 1-0 tidak memberi kelebihan besar buat kami, dan sudah pasti tidak menjamin apa-apa kerana masih ada 90 minit lagi untuk memastikan siapa yang lebih layak.

“Dalam aksi kedua ini macam-macam boleh jadi dan boleh berlarutan ke masa tambahan, jadi saya harap kami berusaha dengan sehabis baik untuk tamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Peluang ke separuh akhir dengan aksi di laman sendiri pada kali ini perlu dimanfaatkan kerana kami beraksi dengan sokongan yang lebih besar dari pihak penyokong sendiri,” katanya.

sumber:-BH

Kali terakhir Kedah melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA adalah ketika Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak pada musim 2019 dan mara ke final serta menjuarai edisi berkenaan.