KOTA BHARU: Hasrat Kuching City FC membawa bekal selesa di suku akhir pertama Piala FA menentang Kelantan City tidak kesampaian apabila terikat 0-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Kedua-dua pasukan turun dengan semangat juang tinggi dengan beberapa percubaan bahaya terutamanya pelawat dengan hantaran pendek dilakukan namun buntu jaringan hingga tamat babak pertama.
Percubaan Addin Mujagic pada minit ke-18 tersasar, menafikan gol pembukaan buat The Cats manakala Kelantan City terlepas dua gol selepas Haziq Nadzli cemerlang menepis jaringan Asraff Aliffudin dan Emmanuel Ikechukwu.
Insiden kad merah yang diterima meranapkan moral anak buah Alfredo Gonzalez selepas Nazri Muhamad dilayangkan kad merah pada minit ke-42 selepas melakukan kekasaran ke atas lawan.
Memasuki babak kedua, kedua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Kuching pula menerima kad merah ke atas Jerome Etame pada minit ke-80.
Pada minit ke-83, pemain gantian, Ronald Ngah Wanja hampir menceriakan pelawat namun tandukannya sedikit tersasar meskipun peluang terbuka luas di pintu gol Kelantan.
Tambahan masa lima minit gagal meletakan kedua pasukan mencari gol sekali gus menoktahkan keputusan penuh malam tadi dengan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Aksi timbal balik dijadual berlangsung 10 Oktober ini bagi menentukan pasukan yang bakal ke pusingan separuh akhir Piala FA.