KUALA LUMPUR: Kuching City FC enggan mengibarkan bendera putih biarpun tewas 2-1 kepada Selangor FC pada aksi pertama separuh akhir Piala FA, sebaliknya bertekad memburu kebangkitan di laman sendiri bagi merebut tiket ke final.
Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak percaya peluang pasukannya masih terbuka dan menuntut pemain kekal positif serta yakin dengan kemampuan sendiri menjelang aksi timbal balik di Kuching.
Katanya, jadual perlawanan yang padat bukan alasan untuk pasukannya mengalah, malah pemain perlu memberikan segala-galanya demi mengubah keputusan pada perlawanan kedua.
“Saya pernah berada dalam situasi seperti ini sebelum ini. Kami boleh bangkit apabila bermain di Kuching. Bola sepak memerlukan kita sentiasa positif dan mempercayai pemain sendiri.
“Jadual perlawanan yang padat memang sedikit menyukarkan keadaan, tetapi kami tidak mahu menjadikannya alasan. Saya fikir peluang untuk bangkit di Kuching masih ada dan kami pasti akan memberikan segala-galanya,” kata Aidil.
Mengulas aksi pertama, pengendali kelahiran Singapura itu berkata pemainnya sudah memberikan komitmen penuh dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun gagal memanfaatkannya untuk mendapatkan keputusan lebih baik.
Tambahnya, beliau turut mengakui dua gol yang dibolosi perlu dijadikan pengajaran, sambil menegaskan Kuching City mahu terus menampilkan permainan menyerang walaupun sedar kepadatan jadual memberi cabaran kepada pasukan.
Dalam masa sama, Aidil mengingatkan pemain supaya tidak terpengaruh dengan komen negatif, sebaliknya terus menjaga keyakinan dan mengambil iktibar daripada setiap perlawanan.
“Kami perlu kekal positif kerana mereka bukan sahaja mewakili Kuching atau Sarawak, tetapi juga Malaysia. Saya akan sentiasa berdiri bersama pemain untuk memastikan mereka kekal positif dan belajar daripada pengalaman lalu,” katanya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi separuh akhir kedua pada 8 November ini dan Kuching City pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Taha Ariffin untuk mendapatkan jaringan, sekali gus menghidupkan peluang ke pentas akhir.