Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bakal mengambil pendekatan berwaspada apabila berdepan DPMM FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Bengawan, malam esok.
Jelas pengendali kelahiran Sepanyol itu, walaupun JDT berstatus juara bertahan, auranya amat berbeza sekali dan skuad kendalian James McAllister akan turun habis-habisan untuk memburu kemenangan apabila beraksi di laman mereka sendiri.
“Walaupun kami telah mengharungi jadual perlawanan yang padat sebaik menghabiskan aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan kemudian bersambung dengan aksi Liga Super, persiapan yang rapi harus diteruskan untuk aksi separuh akhir Piala FA.
“Kemungkinan akan ada rotasi pemain kerana kami mahu pemain yang bakal diturunkan nanti cergas sepenuhnya dan bersedia untuk berdepan pemain DPMM yang pasti mahu melakar kejutan tapi kami juga mengidamkan bekalan selesa di bawa ke Stadium Sultan ibrahim, 8 November ini.
“Kami jangkakan ia perlawanan berintensiti tinggi malah kami pernah tewaskan DPMM 3-0 dalam saingan liga tapi aksi malam esok amat berbeza kerana mereka pasti mahu tebus kekalahan lalu di tambah pula mereka meraih suntikan semangat selepas tewaskan Kuching City 3-2,” katanya.
Munoz juga mengingatkan barisan pemain yang bakal diturunkan agar kekal permainan yang konsisten dan tidak mudah memberi ruang kepada anak didik McAlisster bergerak bebas terutama di posisi tengah dan sayap bagi mengelak mereka bertindak melakukan `set-piece’ yang boleh mengancam benteng skuad Harimau Selatan.
Di samping itu dia mahu barisan serangan JDT yang akan diturunkan sentiasa berada dalam `mood’ mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi tidak kira saingan liga mahupun Piala FA dan ia penting dalam skuad ini.