sukan

Piala FA : Pertembungan antara Selangor-NSFC jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Enam pasukan sudah boleh mencongak persiapan terbaik selepas berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA selepas mempertaruhkan aksi masing-masing dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 minggu lalu.

Penang FC, Terengganu FC (TFC), Kuching City FC, Negeri Sembilan FC (NSFC), Selangor FC (SFC) dan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) mengesahkan slot mereka ke suku akhir yang dijangka bermula bulan depan.

Pertembungan NSFC dan SFC di pentas suku akhir antara yang bakal mencuri tumpuan dalam kalangan peminat terutamanya selepas dua kelab itu mempamerkan persembahan yang mengujakan di pentas Liga Super sebelum ini menyaksikan SFC tewas 1-2 kepada anak buah Nidzam Jamil.

Bagi Nidzam, aksi di suku akhir sudah tentu tidak mudah dan mereka perlu menggunakan masa yang ada untuk mempersiapkan mental dan fizikal kerana masih banyak yang perlu diperbaiki selepas tewas 0-1 kepada PDRM FC dalam aksi timbal balik.

“Paling penting, kami layak ke suku akhir tetapi banyak corak permainan yang perlu diperbetulkan sebab kalah di aksi timbal balik ini menunjukkan masih ada kelemahan yang harus diperbaiki.

“Kena banyak perlu betulkan terutamanya aspek sepakan penjuru dan kena tengok balik video bagaimana untuk hadapi situasi seperti ini, kalau kurang fokus sedikit, memang akan dihukum,” katanya.

Selain pertembungan terbabit, satu lagi aksi yang dijangka sengit adalah skuad ‘Penyu’ yang bakal berdepan Kuching City FC.

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan besar agregat 9-4 ke atas DPMM FC nyata beri kepuasan kepada beliau selain mengharapkan barisan pemain terus konsisten kerana bakal menghadapi perlawanan lebih sukar di suku akhir.

Bagi beliau, kebangkitan yang ditampilkan oleh anak buahnya untuk memastikan slot suku akhir dalam genggaman membuktikan kerja keras pemain yang mengikut perancangan meskipun lawan mempunyai kelebihan satu gol terlebih dahulu.

“Alhamdulillah tahniah kepada semua pemain yang sudah berjuang dan kelainan yang diberikan adalah mereka tahu apa yang perlu dibuat, ikut perancangan, selain kita ada penyokong yang hebat di belakang.

“Tetapi kita tahu perlawanan akan datang bukan mudah dan kita akan kembali ke aksi Liga Super pula di mana akan berlawan dengan SFC, jadi saya mengharapkan pemain dapat menunjukkan kualiti untuk terus konsisten”, katanya.

Dua lagi aksi timbal balik pusingan 16 yang masih belum berlangsung adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang UM-Damansara United yang akan diadakan pada 2 Oktober manakala Sabah FC yang akan berdepan Bunga Raya FC pula akan ditentukan semula tarikh baharu selepas ditunda susulan cuaca teruk minggu lalu.