Piala FA: Selangor FC ‘mandi peluh’ berdepan Sabah

KETUA jurulatih , Kim Pan-gon mengakui jadual padat menjadi salah satu punca pasukannya bergelut sebelum mara ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Sabah FC menerusi agregat 4-3.

Menurut Pan-gon, prestasi yang dipamerkan pasukannya bukanlah yang terbaik, tetapi cukup penting bagi memastikan misi pasukan untuk terus me­ngibarkan cabaran dalam kejohanan berprestij itu.

Pan-gon berkata, pemain ha­nya mempunyai tempoh kira-kira 48 jam untuk berehat selepas aksi bertemu Melaka FC Ahad lepas, sekali gus menjejaskan tahap kecergasan dan kualiti permainan.

“Ini sangat sukar. Selepas perlawanan terakhir, kami hanya mempunyai dua hari sebelum perlu bermain lagi. Jadi, apakah kualiti yang penganjur harapkan dengan jadual seperti ini?

“Mereka hanya memberikan 48 jam untuk membuat persiapan dan situasi seperti ini pasti menjejaskan prestasi pasukan, namun saya tidak boleh me­nyalahkan pemain. Ada masa kita perlu melindungi pemain dan juga kualiti permainan,” ­katanya.

Sementara itu, pengendali dari Korea Selatan itu turut menyifatkan aksi tanpa kehadiran penonton sebagai sesuatu yang sukar susulan hukuman Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

“Ini memberi kesan yang sangat besar kerana bola sepak hidup dengan kehadiran penonton. Mungkin ada cara lain untuk menghukum tetapi menghalang penonton datang adalah tidak wajar.

“Saya harap ini kali terakhir kami bermain tanpa penonton. Jika kami melakukan kesalahan, cari cara lain untuk menghukum, tetapi jangan ambil penonton daripada kami,” ujarnya.

Pada aksi timbal balik pusi­ngan 16 itu, Selangor berjaya meraih kemenangan 2-1 hasil ja­ringan Eduardo Sosa dan Chrigor Moraes selepas terikat 2-2 pada aksi pertama minggu lalu.