sukan

Piala FA: Selangor tetap waspada ancaman Negeri Sembilan

BIARPUN peluang mara ke separuh akhir terbuka luas, namun jurulatih interim Selangor FC, Christopher Gamel mengingatkan pemain The Red Giants supaya tetap menampilkan persembahan cemerlang apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam ini.

Selangor FC membawa kelebihan cukup selesa menjelang pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas meraih kemenangan 4-0 di Paroi pada 18 Oktober lalu.

Pun begitu, Gamel tidak mahu kesebelasan utama yang diturunkan nanti menganggap perlawanan timbal balik itu sebagai tugas mudah sehingga mengabaikan disiplin dan fokus permainan.

Sebaliknya, Gamel menuntut anak buahnya supaya mengekalkan intensiti serta corak permainan bertenaga sepanjang 90 minit bagi memastikan tiket ke separuh akhir diraih dengan penuh bergaya di hadapan penyokong sendiri.

“Kami perlu bermain lebih baik daripada perlawanan pertama kerana mungkin kali ini mereka akan lebih menekan.

“Setiap peluang menjaringkan gol mesti dimanfaatkan sebaik mungkin kerana Negeri Sembilan pasti datang dengan misi membalas dendam.

“Apa pun, kami perlu buktikan sekali lagi kenapa kami layak mara lebih jauh,” kata pengendali asal Perancis itu.

Namun, persiapan Selangor FC sedikit terganggu selepas kehilangan tonggak pertahanan utama, Sharul Nazeem Zulpakar yang disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan meniskus pada lutut kiri.

Kecederaan itu dialami ketika aksi Liga Super menentang KL City FC di Stadium MBPJ pada Ahad lalu, menyaksikan Sharul Nazeem atau lebih dikenali sebagai Afro terpaksa dikeluarkan pada minit ke-38 dan digantikan oleh Harith Haiqal Adam Afkar.

Menerusi kenyataan rasmi kelab, keputusan imbasan MRI mengesahkan kecederaan berkenaan memerlukan pembedahan selepas menjalani program prapemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan, bengkak serta meningkatkan pergerakan kaki.

Ketiadaan Sharul Nazeem sudah tentu memberi kesan terhadap benteng pertahanan The Red Giants, namun Gamel dijangka melakukan beberapa penyesuaian taktikal bagi memastikan kekuatan pasukan tidak terjejas menjelang pertembungan penting malam ini.