sukan

Piala Malaysia: Selangor FC bernasib baik

TEMERLOH: Sri Pahang FC (SPFC) gagal mencatat kemenangan apabila seri 1-1 berdepan Selangor FC (SFC) pada perlawanan pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Dua gol, masing-masing satu pada setiap babak menyaksikan skuad Tok Gajah terlepas peluang melakar kemenangan kerana Red Giants menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Namun, pada perlawanan itu, pasukan pelawat terlebih dahulu memberi ancaman kepada tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol hasil sentuhan Yohandry Orozco yang menerima hantaran Faisal Halim seawal minit kelima.

Namun, jaringan pemain tengah import itu tidak disahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Peluang terbaik tuan rumah pula hadir daripada Manuel Hidalgo tetapi bola rembatan tepat ke arah penjaga gol Selangor, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-10.

Gol yang dinantikan tuan rumah akhirnya hadir menerusi tandukan pemain tengah, Sean Selvaraj untuk memastikan skuad tu mendahului 1-0 ke atas lawan pada minit ke-26.

Selepas itu, bahagian serangan terutama Faisal yang kali pertama disenaraikan dalam kesebelasan utama berusaha untuk merobek gawang tuan rumah tetapi dinafikan pertahanan tuan rumah dengan keputusan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, ketinggalan 0-1 menyaksikan Selangor menggandakan asakan dan percubaan terbaik hadir daripada pemain gantian, Alvin Fortes tetapi bola terkena tiang di sebelah kanan pada minit ke-58.

sumber:- BH

Gol penyamaan Selangor akhirnya berjaya dihasilkan menerusi tandukan pemain import, Nikola Jambor minit ke-82 dan keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.