sukan

Piala Shopee : Komen tanpa berselindung jurulatih PKR FC selepas dibelasah JDT

JOHOR BAHRU: Pengendali PKR Svay Rieng FC, Matthew McConkey, mengakui kekalahan 6-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee musim 2026-27 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, sukar diterima.

Pengendali kelahiran Ireland Utara itu berkata, corak permainan pasukannya yang tidak menjadi serta kesilapan individu menjadi punca skuad The Blue Swords mudah dibolosi barisan Harimau Selatan.

Beliau berkata, persembahan hambar anak buahnya, khususnya pada separuh masa kedua, memberi ruang kepada JDT menguasai permainan dan menambah lima gol selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan individu sehingga sukar dipercayai. Ada beberapa kesilapan di atas padang yang memang tidak boleh diterima dan pemain sendiri sedar mengenainya.

“Kekalahan 6-0 bukan keputusan yang boleh diterima oleh kelab kami, tidak kira siapa lawan yang dihadapi. Keputusan ini amat memalukan,” kata McConkey.

Mengulas lanjut kelemahan pasukannya, pengendali berusia 33 tahun itu mengakui kesilapan bukan hanya berlaku pada satu posisi, sebaliknya membabitkan pemain di semua bahagian.

“Setiap pemain yang beraksi hari ini melakukan kesilapan. Ada kesilapan yang menyebabkan kami dibolosi, manakala ada juga pemain gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol.

“Memang banyak kesilapan dilakukan oleh semua pemain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan berbanding perlawanan terdahulu, McConkey mengakui JDT menurunkan kesebelasan utama yang jauh lebih mantap, manakala pasukannya gagal mengekalkan tahap permainan sebenar.

Bagaimanapun, beliau enggan menjadikan faktor beraksi di tempat lawan atau tekanan sorakan penyokong tuan rumah sebagai alasan kekalahan itu.

“Keadaan padang sangat baik, suasana perlawanan juga hebat dan persiapan kami berjalan lancar sejak tiba di sini. Jadi, faktor bermain di tempat lawan bukan alasannya,” tambahnya.

Bagi menghadapi perlawanan seterusnya, McConkey berkata pasukannya akan kembali ke kem latihan untuk menilai prestasi berkenaan dan melakukan perubahan bagi mendapatkan semula rentak kemenangan.