sukan

Piala Thomas: Buat kerja betul-betul atau terus dibuai mimpi – Rexy

KUALA LUMPUR: “Peluang kita tetap ada, tapi kalau tak rancang dari sekarang, kita hanya akan terus bermimpi.”

Itu peringatan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky yang mahu melihat persiapan lebih rapi dilakukan bagi membentuk skuad mantap menamatkan kemarau 33 tahun kejuaraan Piala Thomas.

Rexy berkata, setiap edisi Piala Thomas sememangnya terbuka untuk direbut, namun kemenangan tidak akan hadir jika pasukan tidak cukup bersedia terutama dalam aspek kekuatan keseluruhan sebagai satu unit.

“Peluang kita sentiasa ada setiap kali Piala Thomas. Tapi yang penting, kita kena cari ‘tune’ yang betul dan buat persiapan yang padu.

“Kita kena fikir bagaimana mahu jadi lebih solid terutama dalam acara perseorangan. Bukan bermaksud beregu sudah cukup bagus, tapi beregu pun perlu diperkukuhkan lagi,” katanya.

Menurutnya, kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas memerlukan lebih daripada sekadar kekuatan individu.

“Setiap acara ada pemain yang kuat, itu betul. Tapi kita nak menang sebagai pasukan. Itu yang kita kena mula fikir dari sekarang.

“Kalau hanya cakap pasal peluang tapi tak buat kerja ke arah itu, maka Piala Thomas akan terus jadi angan-angan,” katanya.

Rexy mengulas pandangan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yang menyifatkan edisi 2026 di Horsens, Denmark sebagai peluang terbaik Malaysia menamatkan penantian kejuaraan yang kali terakhir diraih pada 1992.

Skuad negara ketika ini dianggap memiliki barisan seimbang dengan kehadiran dua perseorangan utama, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, selain tiga pasangan beregu dalam kelompok tujuh terbaik dunia.

Mereka ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking nombor satu dunia), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor dua dunia) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (nombor tujuh dunia).

sumber:- HM

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada edisi 1992 di Stadium Negara apabila menewaskan Indonesia 3-2 dengan Rashid menjadi antara penyumbang mata penting dalam aksi final bersejarah itu.