KUALA TERENGGANU: “Latihan sepakan percuma secara berterusan sejak remaja adalah faktor utama saya mampu lakukan jaringan sedemikian,” kata pemain import Terengganu FC (TFC), Marin Pilj.
Perancang skuad Penyu itu berkata demikian selepas sepakan percuma berkualitinya dari jarak kira-kira 20 meter pada minit ke-86 berjaya menghasilkan gol ketiga pasukannya.
Jaringan itu dilakukan ketika TFC berdepan Sabah FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas pada Sabtu lalu yang ketika itu dikawal bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun ‘arkitek’ kelahiran Croatia itu yang baru musim pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mengakui jaringan itu tidak semudah yang dilihat.
“Tiga jaringan jarak jauh termasuk sepakan percuma ketika bertemu Sabah FC pada Sabtu lalu tidak semudah untuk dilakukan sebagaimana yang disaksikan.
“Namun itu semua terhasil disebabkan latihan sepakan jarak jauh yang saya lakukan secara berterusan bermula di peringkat remaja lagi.
“Ketika usia itu (remaja) saya kerap menjaringkan gol melalui sepakan jarak jauh, bagaimanapun saya tegaskan ada kalanya faktor posisi dan corak permainan pasukan juga turut mempengaruhi untuk menjaringkan gol dalam situasi itu.
“Jika berpeluang, saya mahu meneruskan momentum untuk menjaringkan gol, lagipun ketika bersama kelab lama, saya juga pernah menjaringkan gol jarak jauh,” kata Pilj.
Selain jaringan ketika aksi Sabtu lalu, pemain berusia 27 tahun itu berjaya menjaringkan gol melalui sepakan jarak jauh ketika perlawanan suku akhir pertama serta pusingan 16 terakhir Piala FA berdepan Perak FC.
sumber:-BH
TFC yang mara dengan agregat 7-0 bakal bertembung dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir.