sukan

PM mahu FAM sedia KPI Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi untuk menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya seperti yang dimahukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu kemas kini di laman media sosialnya selepas Hannah mengiringi Perdana Menteri yang mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan FAM, hari ini.

“Tuntutan itu dikemukakan sebagai balasan kepada komitmen Kerajaan yang bersetuju memberi peruntukan RM15 juta untuk membantu usaha memperkasakan pasukan kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

“KBS akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula beberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan,” kata Hannah.

Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta menerusi Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta komitmen daripada pihak swasta untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan di bawah bimbingan Pau Marti Vicente.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu bagi menjamin kebajikan pemain skuad kebangsaan serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik.

Malah, Anwar turut menegaskan ia akan dipantau secara berkala oleh Menteri Kewangan dan juga Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam kemas kini sama, Hannah turut memaklumkan kerajaan akan tetap komited untuk membangunkan sukan-sukan lain di negara ini dan akan terus membantu perkembangan sukan terbabit.

“Perdana Menteri juga memaklumkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem sukan negara dan peruntukan yang disalurkan untuk Harimau Malaya ini tidak akan mengurangkan peruntukan yang disalurkan kepada sukan-sukan lain,” katanya.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan ketika ini menghuni kedudukan ke-134 dunia dan mereka baru sahaja menjulang Pestabola Merdeka 2024 hasil kejayaan menumbangkan pasukan di ranking ke-116 dunia, Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal bulan ini.