sukan

PMX ucap tahniah buat skuad sepak takraw negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas regu berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mendapat ucapan tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyifatkan kejayaan itu sebagai kemenangan yang cukup bermakna dan membanggakan seluruh rakyat Malaysia selepas skuad negara menewaskan Thailand 2-0 pada final di Nagoya City Mizuho Arena, hari ini.

“Tahniah kepada skuad sepak takraw negara atas kejayaan menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali meraih emas dalam acara regu berpasukan lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Kejayaan ini turut menghadiahkan pingat emas keempat buat kontinjen Malaysia di temasya kali ini, sekali gus menjadi satu kemenangan yang cukup bermakna dan membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Emas itu cukup bersejarah buat skuad sepak takraw negara apabila ia menamatkan kemarau 36 tahun selepas kali terakhir Malaysia memenangi acara regu berpasukan pada Sukan Asia Beijing 1990, juga selepas menewaskan Thailand di final.

Anwar turut menitipkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara agar terus berjuang dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Syabas anak-anak Malaysia. Teruskan mengharumkan nama negara!” katanya.