KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membersihkan imej mereka sekiranya tuduhan yang dilemparkan kepada badan induk itu menerusi surat layang tidak benar.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli beranggapan itu langkah pertama yang perlu dilakukan FAM selain menggerakkan siasatan dalaman untuk menyiasat isu terbabit kerana ia perlu ditangani dengan betul dan berhati-hati.
Malah Pekan turut melihat beberapa individu yang dinamakan dalam surat layang itu juga perlu tampil dengan bukti yang kukuh untuk menafikan pembabitan mereka seperti didakwa.
“Kalau tuduhan itu tidak benar, FAM perlu buat laporan polis dan SPRM. Langkah kedua, buat siasatan dalaman yang digerakkan oleh ahli jawatankuasa eksekutif kerana yang disebut dalam surat layang itu, semuanya pengurusan tertinggi FAM.
“Siasatan ini perlu dikendalikan oleh individu yang tidak terbabit ataupun mungkin boleh melantik pihak ketiga yang tidak ada kepentingan dalam FAM.
“Selain itu, pihak yang didakwa juga perlu bersedia untuk memberi bukti yang kukuh bagi menyatakan bahawa mereka tidak terbabit seperti yang didakwa,” kata Pekan.
Sementara itu, seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa melihat FAM mewujudkan jawatankuasa untuk melakukan siasatan bagi melihat secara keseluruhan mengenai ketidakpuasan hati yang berlaku dalam organisasi terbabit.
Tegasnya, surat layang itu pasti ditulis oleh orang dalam justeru ia bukanlah satu tohmahan ataupun fitnah namun perkara itu boleh diselesaikan dengan bijak oleh pengurusan tertinggi FAM.
“Sebab itulah FAM kena buat siasatan dalaman dan cuba mencari jalan keluar kepada kemelut ini. Saya rasa ia boleh diselesaikan dengan mudah kalau pengurusan atasan FAM sedia mendengar dan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap apa dinyatakan dalam surat layang itu.
“Lebih baik jika (FAM) tidak menafikan tetapi cuba memperbetulkan keadaan. Isu berbangkit seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menjadi ‘api dalam sekam’ dan merosakkan keberkesanan sesuatu organisasi yang besar seperti FAM.
“Pengurusan tertinggi FAM tidak boleh angkuh serta sombong. Jawatan yang dipegang itu bukanlah hakiki dan mereka harus ingat, mungkin pemimpin mengeluarkan idea tetapi yang di bawah inilah sebagai tunjang yang melaksanakan idea terbabit,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, mempertahan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu surat layang semalam.
Rosmadi yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM berkata beliau sudah membaca keseluruhan dakwaan yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu dan mendapati ia tidak benar sama sekali.
sumber:-BH
Beliau menyifatkan kesemua dakwaan yang dibuat, antaranya FAM tidak telus dalam proses pemberian tender membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan sebagai sesuatu yang sangat berat dan mampu mencemarkan imej badan induk itu selain membantutkan perkembangan bola sepak di Malaysia.