sukan

Prestasi Aaron-Wooi Yik masih seperti ‘yoyo’

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui belum mencapai tahap prestasi terbaik mereka seperti ketika memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan nombor empat dunia itu jelas tidak berada pada tahap prestasi terbaik mereka selepas tewas di tangan gandingan China, Chen Bo Yang-Liu Yi 20-22, 15-21 pada aksi suku akhir Terbuka Denmark di Odense, semalam.

Ia adalah kekalahan pertama Aaron-Wooi Yik di tangan lawan itu dalam tiga pertemuan sekali gus menyaksikan mereka gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark yang dimenangi tahun lalu.

Pasangan itu sebelum ini terlepas empat kejohanan selepas Wooi Yik terpaksa menjalani pembedahan susulan retak tulang jari kaki kanan yang dialami ketika Olimpik Paris.

Aaron-Wooi Yik hanya kembali beraksi dalam kejohanan pada saingan Terbuka Artik, minggu lalu yang menyaksikan mereka terkandas di pusingan kedua.

“Berbanding Sukan Olimpik, ini hanyalah kira-kira 50 peratus daripada prestasi kami di Paris. Ia boleh jadi lebih baik.

“Rentak permainan kami tidak berapa lancar. Kami juga lambat dalam membuat beberapa pukulan pertama di hadapan jaring dan membuat beberapa kesilapan.

“Kami akan kembali fokus kepada latihan dan belajar bagaimana untuk bersaing dengan lebih baik menentang pasangan dalam kelompok utama dunia,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Aaron berkata mereka akan mengalihkan fokus bagi menamatkan baki tiga kejohanan musim ini sebelum memulakan persiapan untuk mengharungi saingan Jelajah Dunia BWF tahun depan.

“Kami mungkin ada tiga lagi kejohanan tahun ini. Selepas itu kami akan berehat dan bermula semula,” katanya.

Aaron-Wooi Yik dijangka menyertai saingan Masters Kumamoto di Jepun dari 12 hingga 17 November dan Masters China dari 19 hingga 24 November.

sumber:-BH

Jika layak, mereka akan beraksi pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou dari 11 hingga 15 Disember depan.