DORTMUND, Jerman: Penyokong England mungkin masih belum dapat melihat prestasi terbaik Cody Gakpo dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi penyerang Liverpool itulah yang akan menjadi ancaman terbesar menjelang aksi bertemu Belanda pada separuh akhir Euro 2024, awal pagi Khamis ini.
Gakpo berjaya mengatasi musim yang kurang memberangsangkan di peringkat kelab untuk sekali lagi bersinar bagi negaranya dalam kejohanan utama.
Pemain berusia 25 tahun itu meraih kontrak bersama Liverpool selepas menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan di Piala Dunia 2022 ketika Belanda disingkirkan Argentina pada suku akhir menerusi penentuan penalti.
Sejak itu, Gakpo bersaing untuk mencari tempatnya dalam kalangan barisan serangan Liverpool.
Mohamed Salah kekal sebagai pemain utama di Anfield, manakala Luis Diaz, Darwin Nunez, Diogo Jota dan Gakpo semuanya perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.
Gakpo menjaringkan dua gol yang hebat dalam kemenangan bersejarah 7-0 ke atas Manchester United pada Mac 2023 dan menjaringkan 16 gol secara keseluruhan ketika Liverpool berusaha untuk memenangi empat trofi di musim terakhir Jurgen Klopp sebelum hanya berjaya memenangi Piala Liga.
Namun, dia sering terpaksa mengorbankan kelebihan individu dimilikinya demi kebaikan pasukan.
Kegagalan Nunez untuk memberikan prestasi yang sepadan dengan harga £85 juta (RM513 juta) memaksa Gakpo kerap bermain sebagai penyerang tengah atau di bahagian tengah.
Namun, apabila dia dikembalikan ke posisi kegemarannya di sebelah kiri serangan untuk skuad Belanda, Gakpo boleh dikatakan pemain terbaik dalam kejohanan setakat ini.
“Saya bermain di sayap kiri. Di Liverpool, saya banyak bermain sebagai penyerang, jadi saya rasa itu perbezaan yang paling ketara,” kata Gakpo mengenai perbezaan prestasinya ketika bersama kelab dan negara.
“Saya seorang pemain sayap kiri sebelum ini, jadi itu selalu menjadi keutamaan saya. Saya rasa dalam satu setengah tahun terakhir, jurulatih memerlukan saya bermain di tempat lain dan itulah yang saya cuba lakukan sebaik mungkin.”
Tiga golnya dalam lima perlawanan menjadikannya penjaring gol terbanyak bersama Euro 2024 dan jumlah itu dijangka bertambah.
Hanya keputusan ofsaid yang menghalangnya daripada menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 3-0 ke atas Romania di pusingan 16 terakhir, yang mana dia juga melakukan hantaran kepada Donyell Malen untuk gol kedua Belanda.
Tekanan yang diberikannya memaksa pemain pertahanan Turkiye, Mert Muldur menjaringkan gol sendiri ketika menang 2-1 pada suku akhir.
Gakpo menyertai legenda bola sepak Belanda seperti Johnny Rep dan Dennis Bergkamp sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol dalam dua kejohanan untuk Oranje.
“Ya, dia boleh bermain sebagai penyerang, tetapi dia sudah menunjukkan dia paling berbahaya dari sebelah kiri,” kata jurulatih Belanda, Ronald Koeman, pasukannya berusaha untuk mencapai final Euro pertama mereka sejak memenangi kejohanan itu pada 1988.
“Dia sangat berbahaya jika dia berdepan satu lawan satu dengan pemain pertahanan kanan. Di dalam, di luar, dia mempunyai kualiti, dia kuat.
sumber:-BH
“Dia bermain di tahap yang hebat dalam kejohanan ini. Dia mungkin pemain yang paling penting setakat ini.” – AFP