PRESTASI dua tonggak skuad kebangsaan, tekong Syahir Rosdi dan perejam Azlan Alias bersama Melaka Titans dalam beberapa perlawanan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini telah mengundang kritikan peminat di media sosial.
Ini kerana servis Syahir yang dahulunya digeruni dilihat sedikit tumpul, manakala libasan Azlan seakan kehilangan bisa.
Di sebalik kritikan tersebut, penganalisis sukan berpengalaman, Zainal Abidin Rawop berharap peminat tidak terlalu cepat melatah.
Beliau menegaskan prestasi turun naik adalah lumrah dalam sukan profesional dan ia merupakan perkara biasa bagi mana-mana atlet di dunia.
“Turun naik prestasi pemain perkara biasa. Bagi saya, ia belum begitu mendadak.
“Tidak adil menilai mereka secara keterlaluan hanya kerana beberapa perlawanan sahaja,” katanya.
Zainal Abidin turut menekankan bahawa jasa dan sumbangan kedua-dua pemain itu tidak boleh dilupakan, dengan gandingan mantap Syahir dan Azlan menjadi tulang belakang kejayaan Melaka Titans termasuk menjuarai dua Grand Prix (GP) sebelum ini di Terengganu serta Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau menegaskan tekanan dan jadual pertandingan yang padat turut memberi kesan kepada prestasi fizikal serta mental pemain.
“Kalau mereka tidak menguasai STL, ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan.
“Kita nampak mereka bergelut untuk bersaing dengan format pertandingan yang sangat meletihkan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Zainal Abidin, ia bukan alasan apabila membandingkan situasi mereka dengan pasukan lain seperti Negeri Sembilan Antlers yang berjaya menjadi juara dengan konsistensi tiga pemain utama.
“Ia menunjukkan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada nama besar tetapi juga kepada strategi, daya tahan dan keserasian jitu,” ujarnya.
Trio Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Hafizul Hayazi Adan (apit kanan) dan pemain berpengalaman, Zulefendi Sumari (apit kiri) membantu Antlers mengungguli GP Negeri Sembilan dan Johor.