KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa sudah bersedia memberikan yang terbaik pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC) di Qingdao, China minggu depan.
Menurutnya, kem perseorangan wanita negara umpama ‘underdog’ dan status berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan di saat dirinya turut mahu memperagakan aksi terbaik untuk mengubah persepsi ramai terhadap kemampuan mereka.
“Buat masa ini, kami perseorangan wanita, saya boleh katakan yang kami mahu memberikan yang terbaik seperti saya lakukan di Masters Indonesia.
“Jadi keputusannya kita akan lihat nanti kerana kita ‘underdog’. Apabila kita berikan yang terbaik, keputusan yang baik akan datang dan itu yang saya yakin,” kata pemain berusia 21 tahun itu ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Letshanaa memulakan kempen musim ini dengan prestasi ‘yo-yo’ apabila mara ke pusingan kedua Masters Indonesia sebelum terkandas di pusingan pertama Masters Thailand minggu lalu.
BAMTC dijadual berlangsung di Qingdao, China minggu depan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Turut berada dalam kem perseorangan wanita adalah Wong Ling Ching.
sumber:-BH
“Kita akan lihat apa kesilapan yang perlu diperbaiki dan berbincang dengan jurulatih dalam tempoh lima hari ini. Apa yang boleh saya boleh katakan, mahu berikan yang terbaik dan hasilnya akan dapat dilihat apabila beraksi di gelanggang nanti,” katanya.