sukan

Prestasi ‘yoyo’ Sze Fei-Izzuddin perlu penyelesaian segera

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani disaran melakukan bedah siasat menyeluruh terhadap prestasi kurang konsisten di pentas antarabangsa.

Pemerhati sukan tempatan yang juga pensyarah di UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa menegaskan sudah tiba masanya Sze Fei-Izzuddin bersikap lebih proaktif dalam mengenal pasti punca kelemahan, bukannya sekadar memberi alasan lawan bermain lebih baik.

“Mereka perlu proaktif buat bedah siasat terhadap semua aspek yang menjurus kepada prestasi tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

“Mereka dalam ranking terbaik dunia dan dengan semua sokongan yang diberikan, mereka wajar teliti secara komprehensif mana yang masih kurang,” katanya ketika menghubungi Arena Metro, hari ini.

Pasangan itu sekali lagi gagal menyerlah apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka China selepas tumpas 21-15, 15-21, 17-21 kepada pasangan Korea Selatan ranking ke-40 dunia, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dalam aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou semalam.

Minggu lalu pasangan berkenaan berjaya layak ke final Terbuka Jepun dan aksi tidak konsisten berkenaan mencerus hala tuju mereka menjelang Kejohanan Dunia di Paris selepas ini.

Sadek menambah, pasangan itu juga perlu lebih telus dalam menilai kelemahan sendiri.

“Mereka perlu telus mengakui kelemahan, bukan kata lawan main lebih baik. Itu bukan kata-kata pejuang sejati… mereka sepatutnya berkata dengan lebih bijak dan benar,” tegasnya.

sumber:- HM

Sze Fei-Izzuddin adalah pasangan profesional yang berada dalam Program Road To Gold (RTG) selain gandingan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai.