sukan

Punca MFL belum keluarkan jadual Liga Super

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunggu pengesahan jadual daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sebelum memuktamadkan kalendar rasmi Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan pihaknya perlu mendapatkan tarikh rasmi AFF susulan dua wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang akan beraksi dalam Kejuaraan Kelab ASEAN.

Beliau berkata, MFL perlu menyusun jadual yang merangkumi aksi JDT dan Selangor dalam Liga M, saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE dan ACL2), serta Kejuaraan Kelab ASEAN yang akan berlangsung musim ini.

“MFL kini dalam proses akhir untuk keluarkan kalendar liga. Namun, kami perlu tunggu jadual rasmi AFF kerana dua pasukan kita, JDT dan Selangor, akan bertanding dalam Kejuaraan Kelab ASEAN.

“Jadual itu penting bagi kami mengatur jadual yang merangkumi perjalanan mereka di pelbagai kejohanan termasuk Liga Malaysia dan pentas Asia,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tarikh kejohanan ACLE dan ACL2 sudah dimaklumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), lokasi dan perlawanan kumpulan bagi kedua-dua pasukan hanya akan diketahui selepas majlis undian pada 15 Ogos depan.

“Tarikh kejohanan sudah ada. Tapi untuk tahu bila dan di mana JDT serta Selangor akan bermain, kita perlu tunggu keputusan undian kumpulan itu nanti.

sumber:- BH

“Kita akan cuba umumkan (kalendar Liga M) lebih awal supaya semua pasukan boleh bersiap dari segi latihan, logistik dan pengurusan perlawanan,” katanya.