sukan

Punca sebenar aksi sulung Messi ditangguhkan

MIAMI, Amerika Syarikat: Aksi Piala Juara-Juara kelab Lionel Messi, Inter Miami menentang Sporting Kansas City ditangguh kerana cuaca buruk termasuk salji lebat, menurut Konfederasi Persatuan Bolasepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) hari ini.

Perlawanan itu, yang sepatutnya dilangsungkan pagi esok, adalah penampilan sulung pasukan kendalian Javier Mascherano dalam pertandingan peringkat benua itu, tetapi kini akan diadakan pagi Khamis ini.

Perkhidmatan cuaca kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ribut musim sejuk bagi wilayah itu, yang merangkumi sebahagian daripada timur-tengah dan timur laut Kansas serta tengah dan barat-tengah Missouri.

“Keputusan untuk menangguhkan perlawanan di Children’s Mercy Park dibuat dengan keselamatan pemain dan peminat menjadi keutamaan selepas berunding dengan dua kelab terbabit dan pihak berkuasa tempatan,” kata CONCACAF dalam satu kenyataan.

Badan induk sukan itu menegaskan penangguhan itu juga didorong oleh kemungkinan salji terkumpul di atas padang.

Aksi kedua dijadual pada 25 Februari depan di gelanggang Miami, Stadium Chase dengan pemenang akan bertemu kelab Jamaica, Cavalier pada pusingan 16 terakhir.

Piala Juara-Juara, sebelum ini dikenali sebagai Liga Juara-Juara, satu pertandingan tahunan kelab anjuran CONCACAF sebagai pertandingan utama bagi kelab dari Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean. – REUTERS