sukan

Punca utama Hakim Danish gagal berada dalam kelompok hadapan

KUALA LUMPUR: Masalah cengkaman tayar belakang menjadi penghalang utama buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk mencabar kelompok hadapan apabila sekadar menamatkan Grand Prix (GP) Jerman di kedudukan ke-12 di Litar Sachsenring, semalam.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu yang memulakan perlumbaan 23 pusingan dari petak ketiga dilihat bergelut sejak awal perlumbaan apabila gagal mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan sebelum akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat, sekali gus mengutip empat mata berharga.

Hakim Danish berkata, dia sudah menjangkakan perlumbaan yang sukar selepas tidak begitu yakin dengan jenteranya sepanjang sesi latihan, namun tetap berusaha memperbaiki kelemahan yang dihadapi sebelum aksi sebenar.

“Untuk minggu ini memang agak sukar bagi saya. Sejak sesi latihan lagi saya tidak berasa begitu yakin, tetapi setiap sesi saya cuba memperbaiki masalah yang saya hadapi.

“Semasa sesi kelayakan saya menggunakan tayar lembut untuk melakukan ‘time attack’ dan saya rasa cengkamannya sangat baik. Tetapi untuk perlumbaan, saya menggunakan tayar keras kerana perlumbaan di sini agak panjang iaitu 23 pusingan,” katanya.

Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, masalah sebenar mula dirasai sebaik perlumbaan bermula apabila dia bergelut mendapatkan cengkaman tayar belakang sehingga menyukarkannya untuk kekal bersama kelompok pendahulu.

“Saya bergelut dengan cengkaman tayar belakang sejak awal perlumbaan. Saya cuba menguruskannya sebaik mungkin dan mengejar kelompok hadapan, tetapi memang agak sukar.

“Saya akan terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya dapat tampil lebih baik dalam perlumbaan selepas cuti pertengahan musim nanti,” katanya.

Hakim Danish turut mengakui keputusan di Sachsenring bukanlah seperti yang diharapkannya biarpun memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, namun enggan terlalu kecewa kerana percaya masih banyak perkara positif boleh dipelajari untuk menghadapi baki saingan musim ini.

“Bermula dari barisan hadapan tetapi menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 bukan keputusan yang saya inginkan. Saya sudah mencuba sehabis baik, namun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

“Minggu ini banyak perkara yang tidak dijangka berlaku, tetapi saya akan terus kekal positif menjelang perlumbaan seterusnya selepas cuti pertengahan musim,” katanya.