sukan

Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu turut dilanda ‘demam’

DI bandar raya paling bahagia di China dan sinonim dengan panda gergasi, Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu yang menjadi venue bagi kejohanan Piala Thomas dan Uber 2024, turut dilanda ‘demam’ panda apabila ‘haiwan’ itu berada di segenap sudut pusat sukan berkenaan.

Sebaik melangkah masuk ke pusat sukan itu, khalayak ramai disambut oleh maskot rasmi yang comel dikenali sebagai ‘Xiong Du Du’ dan ‘Yu Rong Rong’ selain kain rentang bertemakan panda.

Bukan itu sahaja, bulu tangkis gergasi yang diletakkan di tingkat dua pusat sukan itu turut ‘memiliki’ telinga panda.

Namun, yang paling mencuri perhatian ialah magnet peti sejuk yang menampilkan Yu Rong Rong bermain badminton.

Dijual pada harga 68 yuan (kira-kira RM44.93), magnet yang lazimnya dijadikan cenderahati itu laris ibarat ‘pisang goreng panas’ sejak hari pembukan kejohanan pada Sabtu lepas.

Menurut seorang petugas yang mengendalikan reruai menjual barangan rasmi berkenaan, Liu Jialin, sambutan luar biasa terhadap magnet itu daripada peminat badminton benar-benar memeranjatkannya.

“Sambutan sangat hebat, kami mampu jual sekitar 300 keping sehari. Lebih baik anda merebutnya satu sebelum habis,” katanya..

sumber:-SH

Selain magnet peti sejuk, katanya beg jinjing, pin, buku nota serta patung kecil kedua-dua maskot berkenaan merupakan barangan yang laku dijual.