Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan terlalu memikirkan kekalahan mengejut dialami mereka pada pusingan kedua Terbuka Indonesia di Istora Senayan, semalam.
Sebaliknya, pasangan nombor tiga dunia itu memilih untuk melihat sudut positif daripada aksi berkenaan sebagai bekalan bagi memperbaiki prestasi pada kejohanan akan datang.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan kedua kejohanan dikejutkan oleh pasangan muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dalam aksi yang berlangsung selama 33 minit.
Gandingan Indonesia yang semakin meningkat naik itu tampil lebih bertenaga dan agresif untuk meraih kemenangan straight set 21-14, 21-14.
Bagi Wooi Yik, masih terdapat beberapa aspek positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu meskipun keputusan tidak memihak kepada mereka.
“Ada banyak perkara positif boleh saya ambil daripada perlawanan ini. Saya berjaya bermain mengikut corak permainan sendiri hari ini.
“Cuma pada beberapa mata dan situasi tertentu, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik seperti yang saya mahukan,” katanya.
Menurut Wooi Yik, kekalahan itu tidak akan menjejaskan keyakinannya kerana dia percaya proses pembelajaran dan penambahbaikan perlu diteruskan.
“Saya akan mengambil semua perkara positif daripada perlawanan ini dan terus mengekalkan mentaliti seperti ini. Saya percaya ia akan membantu saya menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik kandas di separuh akhir Masters Malaysia serta suku akhir Terbuka Singapura.