Johor Bahru: Walaupun impian melangkah ke pentas final buat julung kali terkubur namun pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap bangga selepas mengukir sejarah layak ke separuh akhir sebelum tumpas dengan agregat 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Bagi Aidil Sharin tiada apa perlu dikesali tatkala skuad The Cats adalah kelab kerdil yang dalam proses menjadi lebih baik dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) malah akan memperbaiki prestasi dalam usaha menyaingi kelab-kelab yang bersaing di liga elit domestik.
Tambahnya, berdepan skuad kendalian Xisco Munoz dengan tanpa kelibat lima tonggak utama bukan tugas mudah selain dibarisi pemain yang terhad namun perancangan tetap dilaksana terutama pada babak pertama untuk mengecewakan barisan serangan JDT supaya sukar menembusi benteng Kuching City FC.
“Kami merancang dua bahagian pada babak pertama terutama pada 20 minit pertama iaitu memastikan JDT tidak menjaringkan gol dan ia tampak berhasil namun pada bahagian kedua pemain agak terleka dan membenarkan pemain JDT menjaringkan gol.
“Pada babak kedua, saya memberitahu pemain dalam tempoh 15 minit permainan tidak membenarkan JDT menjaringkan gol kerana taktikal yang dirancang untuk mengasak ke kubu lawan kerana kami ketinggalan 0-1 dan masih berpeluang bangkit.
“Sebab itu, saya memasukkan Hazwan (Bakri) mengemudi jentera serangan tapi agak malang apabila Rodney (Celvin) mengalami kecederaan sebelum JDT jaringkan gol kedua dan kami tiada lagi pemain di posisi pertahanan dan kesempatan itu diambil JDT menjaringkan gol di penghujung permainan,” katanya.
Adil Sharin menegaskan ketiadaan Jimmy Raymond yang terpaksa dikeluarkan kerana mahu pemain itu berada di tahap kecergasan memuaskan bagi menghadapi Terengganu FC, Jumaat ini juga beri impak terhadap kerapuhan benteng pertahanan.
Pada masa sama, beliau juga mengakui ketiadaan Ronald Ngah Wanja, Jordan Mintah, Daniel Amier Norhisham dan Gabriel Nistelrooy sedikit menjejaskan perancangan taktikal untuk berdepan JDT sekali gus hanya bergantung kepada Joao Pedro bergerak di posisi berkenaan namun tetap bangga dengan barisan pemain ketika beraksi dalam situasi serba kekurangan