Naluri pembunuh serta teknik cantik seperti sepakan di kepala dan serangan siku — Itu antara gambaran pertarungan yang dimahukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong, di gelanggang yang menjanjikan prestij dan habuan lumayan itu.
Beliau yang juga merupakan pengasas ONE Championship berkongsi perkara itu ketika membuat pengumuman menggemparkan baru-baru ini, tidak akan memberikan bonus kepada petarung yang hanya mengejar KO atau ‘knockout’ tanpa mempamerkan keindahan sebenar seni muay thai selepas ini.
Pengumuman itu mendapat pelbagai respon dari peminat sukan tempur di seluruh dunia, tidak kurang juga di Malaysia termasuk penyokong kuat kepada atlet muay thai negara di ONE Championship iaitu Ahmad Nor Iman Aliff Rakib.
Aliff Rakib kebal dalam empat pertarungan berturut-turut menerusi kemenangan terbaharu dalam kategori strawweight muay thai di ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand disebalik berada dalam keadaan kurang sihat.
Petarung berusia 21 tahun itu diyakini mampu menambat hati orang kuat ONE Championship dengan tendangan padu yang menjadi identitinya, seperti ketika dia menerima durian runtuh berjumlah AS$50,000 (RM225,000) selepas menewaskan lawannya Zakaria El Jamari dari Maghribi secara KO seawal pusingan pertama di kejohanan sama pada Ogos 2024.
sumber:- stadium astro
Aliff dilihat melakukan tendangan menggunakan kaki kanan mengenai belakang kepala Zakaria sebelum melakukan asakan dan melepaskan tumbukan tangan kanan sehingga menyebabkan lawan membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan – dan selepas hampir setahun, pertarungan itu masih lagi diingati sebagai antara yang terbaik serta menghiburkan, dan terus menjadi pilihan tontonan di semua platform.