Kuala Lumpur: Dalam suasana bola sepak negara yang penuh ‘keributan’, skuad Harimau Malaya kekal tenang dan fokus hingga mampu meraih kemenangan 3-0 ke atas Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Vientiane, malam tadi.
Gol pembuka daripada Arif Aiman Hanapi pada minit ke-54 menjadi titik kebangkitan yang mencetuskan sorakan lega seluruh tanah air
Selang beberapa minit, Dion Cools menambah jaringan pada minit ke-68, sebelum Faisal Halim menoktahkan kemenangan bergaya menerusi gol ketiga pada masa tambahan babak kedua.
Walaupun berdepan padang bergelombang dan tekanan psikologi susulan kemelut membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), anak buah Peter Cklamovski tidak hilang fokus selain menunjukkan karakter luar biasa di atas padang.
Bagi Arif Aiman, kemenangan itu bukan sekadar tiga mata namun bukti bahawa skuad negara masih mampu berdiri teguh meskipun dilanda badai.
“Perlawanan malam ini (semalam) memang sukar, Laos beri tentangan hebat. Tapi bukan saya seorang , malah semua pemain, staf, pasukan perubatan, semua bagi 100 peratus. Kami terpaksa berhempas pulas dalam permainan tapi kami tetap bersama sampai habis.
“Kami tahu banyak perkara berlaku di luar padang, tapi kami kekal fokus. Dalam padang kami cuma fikir satu iaitu berjuang untuk Malaysia,” katanya, dalam sidang media selepas perlawanan menentang Laos, malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menjadi penawar buat penyokong yang dilanda kekecewaan susulan hukuman berat FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan baru-baru ini.
Selain itu, Arif Aiman turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong Ultras Malaya yang tetap hadir memberi sokongan walaupun suasana bola sepak negara sedang ‘panas’.
“Terima kasih kepada semua yang masih percaya dan terus bersama kami. Kemenangan ini untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Skuad kebangsaan dijangka tidak berhadapan masalah untuk terus memperoleh tiga mata pada perlawanan seterusnya apabila bakal menerima kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya terus mendahului kumpulan F apabila memperoleh sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan tanpa bolos setakat ini.