sukan

Reaksi beregu campuran negara selepas gagal melepasi pusingan pertama Terbuka China

KUALA LUMPUR: “Kecewa? Sudah pasti… Berhenti? Tidak sama sekali.”

Itu reaksi penuh emosi daripada pemain beregu campuran negara, Shevon Lai selepas dia dan pasangannya, Goh Soon Huat sekali lagi dikecewakan di pusingan pertama Terbuka China, semalam.

Beregu profesional negara itu yang menghuni ranking keenam dunia, gagal menamatkan badi kekalahan kepada pasangan muda Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu apabila tunduk dalam pertarungan sengit tiga set, 21-18, 22-24, 15-21 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Apa yang lebih menyakitkan, Soon Huat-Shevon sebenarnya hanya tinggal satu mata kemenangan apabila mendahului 20-18 pada set kedua, namun segalanya berubah apabila mereka hilang fokus pada detik paling kritikal.

Kesilapan itu membuka ruang kepada pasangan Indonesia untuk bangkit dan mencuri kemenangan, sekali gus mengulangi skrip duka sama seperti yang berlaku di Kejohanan Badminton Asia (BAC) April lalu.

Kekalahan itu juga memadam impian Soon Huat-Shevon untuk menyamai pencapaian mara ke final di kejohanan sama musim lalu, selain menyambung episod duka selepas turut tersingkir di suku akhir Terbuka Jepun minggu lalu.

Setakat ini, pencapaian terbaik mereka musim ini hanyalah mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India, kedua-duanya pada Januari.

Namun buat Shevon, kegagalan itu bukan noktah.

Menerusi satu hantaran di Facebook, dia tampil mempertegaskan pendirian mereka untuk terus bangkit.

“Hari yang buruk di tempat kerja tidak menentukan kehidupan, masa depan atau kebolehan anda.

Setiap kegagalan adalah peluang untuk bangkit semula,” tulis Shevon.

sumber:- HM

Pasangan ini dijadual meneruskan perjuangan di pentas lebih besar, Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos depan.