sukan

Reaksi Bergson selepas ditanya berkenaan menyarung jersi Harimau Malaya

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva, tidak menolak kemungkinan untuk menyarung jersi Harimau Malaya menjelang genap lima tahun keberadaannya di Malaysia pada Mac ini.

Reaksi itu hadir susulan pengendali negara, Peter Cklamovski, memberikan bayangan kemungkinan penyerang prolifik skuad Harimau Selatan itu semakin hampir dinaturalisasikan.

Menerusi satu komen di media sosial, cklamovski meninggalkan emoji bendera Malaysia pada ruangan komen sekali gus mencetuskan persoalan kaitan Bergson menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Terima kasih di atas sokongan kerana dia seorang jurulatih yang bagus, saya mengikuti dia kerana saya juga mengikuti Harimau Malaya, saya berasa teruja dengan pasukan terutama melihat pemain JDT yang beraksi buat Malaysia.

“Mereka melakukan dengan baik dan lihat bagaimana nanti jika saya boleh membantu mereka nanti. InsyaAllah.” katanya.

Sementara itu, Bergson menegaskan kejayaan berpasukan kekal menjadi keutamaan, berbanding pencapaian peribadi, walaupun terus menambah jaringan dalam kempen Liga Super 2025/26.

Penggempur berusia 35 tahun dari Brazil itu kini bersaing sengit bersama penyerang Selangor, Chrigor Moraes, -dengan 16 gol ketika ini berbanding Bergon dengan 14 gol- dalam perebutan penjaring terbanyak liga musim ini.

“Saya tidak tahu berapa banyak gol saya cetak, perkara paling penting adalah bagaimana kami beraksi bersama. Kami melakukan dengan usaha, tahniah pasukan pamerkan karekter dengan baik untuk raih tiga mata.” tambahnya.