sukan

Reaksi Chong Wei terhadap skuad Negara

PETALING JAYA – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut tidak ketinggalan memberikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya susulan kemenangan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa lalu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas jaguh dunia itu meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian skuad bola sepak negara yang kini dilihat berada pada landasan tepat menjelang aksi kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027.

“Bangga dengan Harimau Malaya. Tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kemenangan padu ke atas Vietnam.

“Anda semua benar-benar menunjukkan mutu, semangat dan persembahan terbaik. Syabas!” katanya.

Malaysia meraih kemenangan bergaya menerusi jaringan Joao Figueiredo pada minit ke-49, Rodrigo Holgado (59′), La’Vere Corbin Ong (67′) dan Dion Cools (88’).

Terdahulu, skuad negara kendalian Peter Cklamovski memulakan langkah kanan dalam kempen Kelayakan Piala Asia apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Mac lalu.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F, memintas Vietnam, dengan satu lagi aksi penting menentang Laos dijadual berlangsung pada Oktober depan. – KOSMO! ONLINE