KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mahu memanfaatkan tempoh sebulan sebelum kejohanan seterusnya bagi memperbaiki kelemahan permainan susulan aksi tidak konsisten sejak kebelakangan ini.
Pasangan nombor satu dunia itu sekali lagi terkandas di peringkat suku akhir, kali ini dalam saingan Terbuka Indonesia 2025 apabila tewas kepada beregu tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 19-21, 21-9, 19-21 dalam pertarungan sengit selama 57 minit di Istora Senayan, semalam.
Kekalahan itu menandakan kali ketiga berturut-turut mereka gagal melepasi suku akhir selepas Masters Malaysia dan Terbuka Singapura, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap prestasi mereka biarpun baru dua minggu dinobatkan sebagai pasangan nombor satu dunia.
Mengulas mengenai kekalahan kepada gandingan Indonesia itu, Izzuddin mengakui mereka gagal mengekalkan ketenangan ketika berada di mata-mata penentuan.
“Saya rasa mereka lebih tenang dan mampu kawal emosi pada mata-mata akhir. Kami pula agak gementar ketika berada di kedudukan genting, dan itu beri kelebihan kepada mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Sze Fei mengakui tekanan sebagai beregu nombor satu dunia memang wujud, namun mereka perlu bijak menanganinya jika mahu kekal konsisten di pentas antarabangsa.
“Tekanan itu memang sentiasa ada. Ia bergantung kepada bagaimana kami mengawalnya dan bagaimana kami menanganinya di atas gelanggang. Itu yang kami sedang usahakan untuk perbaiki,” katanya.
Selepas membuka musim 2025 dengan menjuarai Terbuka India, prestasi mereka mula goyah apabila gagal mara ke separuh akhir dalam enam kejohanan berikutnya.
Namun, musim 2024 menyaksikan Sze Fei-Izzuddin meraih tiga kejuaraan utama – Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik – selain muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF, satu pencapaian yang melonjakkan kedudukan ranking dunia mereka.
Pasangan itu bakal kembali ke gelanggang kompetitif di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai dan Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai.
sumber:- BH
“Kami akan pulang dan berehat seketika sebelum menyambung latihan. Kejohanan kami seterusnya adalah Terbuka Jepun dan China,” kata Izzuddin.