Walaupun corak permainan gandingan kini dilihat seperti dapat dihidu pasukan lawan terutama Indonesia, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menganggap itu perkara biasa dan bukan sesuatu yang mengejutkan.
Menurutnya, setiap jurulatih sudah pasti mempunyai perancangan dan taktikal tersendiri yang akan diserapkan kepada anak buahnya supaya dapat tampil lebih baik di dalam gelanggang.
Katanya, apatah lagi mereka kerap bertemu sesama sendiri dan situasi itu memberi peluang kepada lawan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai musuh mereka.
“Sebelum saya hadir, mungkin negara lain sudah mengetahui corak permainan pemain Malaysia. Selepas saya membuat sedikit perubahan, mungkin mereka agak terkejut, tetapi saya kurang pasti sepenuhnya,” katanya.
Untuk rekod, sejak Herry membimbing beregu lelaki negara, beliau berjaya membawa Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih tiga gelaran musim lalu iaitu Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengungguli Indonesia Masters dan Malaysia Masters.
Namun, pada penghujung musim lalu, pasangan negara sering tewas kepada dua beregu Indonesia termasuk Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani serta Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri sekali gus memberi isyarat jelas bahawa lawan sudah memahami rentak permainan Malaysia serta taktikal Herry.
Sementara itu, Wei Chong mengakui beregu lelaki Indonesia juga semakin meningkat dan memberi tentangan cukup sengit.
“Strategi mereka hampir sama dengan kita, tetapi mereka lebih konsisten dan itu yang menyebabkan kita sering kalah.
“Yang penting adalah prestasi. Kalau prestasi bagus, keputusan akan datang juga. Ranking itu cuma nombor,” katanya.