sukan

Reaksi Herry melihat kekuatan mental Wei Chong-Kai Wun

KUALA LUMPUR: Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sudah mula mendapat perhatian ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu Herry Iman Pierngadi.

Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu mengakui kagum dengan kekuatan mental yang ditunjukkan pasangan ranking ke-13 dunia itu ketika menjuarai saingan Masters Indonesia di Jakarta, semalam.

Wei Chong-Kai Wun muncul juara selepas mengejutkan pasangan nombor empat dunia yang juga wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-11, 21-19 pada aksi di Istora Senayan.

Bercakap kepada BH Sukan, Herry yang digelar jurulatih ‘Naga Api’, berkata kekuatan mental ditunjukkan Wei Chong-Kai Wun adalah sesuatu yang luar biasa kerana bukan mudah untuk muncul juara di Istora Senayan apatah lagi berdepan wakil tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri.

“Wei Chong-Kai Wun menunjukkan tahap kekuatan mental yang cukup baik. Ia membantu mereka kekal tenang untuk mengawal permainan ketika Fajar-Rian dibebani dengan harapan penyokong untuk melihat mereka menang selepas seorang lagi wakil Indonesia (Jonatan Christie dalam perseorangan lelaki) sudah pun tewas dalam aksi final.

“Dari segi teknik pula, Wei Chong-Kai Wun unggul dari segi power…tenaga tangan mereka lebih kuat selain kualiti pertahanan mereka juga cukup baik,” kata Herry.

Herry berkata dengan kualiti yang ditunjukkan kedua-dua pemain itu, dia percaya mereka mempunyai potensi yang cukup besar untuk menyerlah pada masa depan dan paling utama Malaysia selepas ini tidak lagi perlu terlalu bergantung harap kepada bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menghadirkan kejayaan.

“Saya harap mereka akan terus mempamerkan peningkatan prestasi, mereka masih muda, masing-masing baru berusia 25 dan 24 tahun.

“Untuk tempoh satu atau dua tahun akan datang, saya sebagai jurulatih sudah tentu mengharapkan kepada mereka, tidak hanya kepada Aaron-Wooi Yik untuk melakar kejayaan dan menjadi jaguh dunia,” katanya.

Gelaran Masters Indonesia adalah yang pertama buat Wei Chong-Kai Wun dalam kejohanan bertaraf Super 500 ke atas selepas hanya tiga kali menjuarai saingan Super 300 iaitu Badminton Antarabangsa Syed Modi 2022, Terbuka Taiwan 2022 dan 2023.

Pasangan itu akan menggalas cabaran beregu lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qingdao, China, bulan depan bersama gandingan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Ro King.