Reaksi jojo berkenaan saingan muay thai di pentas Sukan SEA Thailand

Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, mengakui bahawa saingan muay thai di pentas Sukan SEA Thailand 2025 adalah antara yang paling kompetitif dan sukar pernah disertainya.

Johan, atau lebih dikenali sebagai Jojo, yang turut membantu adiknya, Muhammad Mikail Ghazali (Miki), meraih pingat emas kategori featherweight 57kg semalam, menegaskan bahawa kejayaan itu bukan datang dengan mudah, sebaliknya hasil daripada persiapan rapi dan strategi yang teliti.

“Kami memang kaji pihak lawan sebab Sukan SEA adalah antara kejohanan yang susah. Sebab ia bukan bergantung kepada seorang lawan sahaja. Kami perlu kaji setiap lawan yang ditemui. Macam perlawanan yang saya harungi, ia sangat berbeza. Untuk Sukan SEA anda perlu berikan yang terbaik dalam setiap aspek di setiap perlawanan,” kata Jojo.

Beliau menambah bahawa setiap atlet muay thai perlu beraksi hampir setiap hari, menjaga berat badan dengan disiplin, dan berdepan pelbagai gaya bertarung. “Macam perlawanan final bertemu petarung Thailand, kami sudah lama baca gerakannya. Alhamdulillah, strategi yang digunakan adalah betul dan ia beri kemenangan kepada Miki,” jelasnya.

Pada aksi penuh dramatik semalam, Miki yang baru berusia 16 tahun dan membuat penampilan sulung di Sukan SEA, mencipta sensasi apabila menundukkan atlet tuan rumah, Suphakon Sirilun, dengan keputusan tipis 29-28 selepas tiga pusingan sengit.

Kemenangan itu lebih manis kerana ia hadir di hadapan ribuan penyokong Thailand yang memberikan sorakan padu kepada wakil tuan rumah. Namun, ketenangan Miki dan strategi yang dirancang bersama abangnya membuahkan hasil, sekali gus menghadiahkan emas berharga buat Malaysia.

Jojo merupakan anak kedua daripada empat beradik, dengan adik perempuan mereka, Emylia Ghazali, turut menceburi sukan muay thai. Keluarga ini kini menjadi simbol kebangkitan muay thai Malaysia, dengan generasi muda tampil berani di pentas antarabangsa.

Selain kejayaan Miki, kem muay thai negara turut mencatat pencapaian membanggakan apabila Wassof Rujiman meraih emas kategori 54kg lelaki, manakala Yan Jia Chi (Angie) mengungguli final Wai Kru wanita dengan menewaskan juara dunia dari Thailand, Thanawan Thongduang.

Secara keseluruhan, skuad muay thai Malaysia menutup temasya dengan kutipan tiga emas, tiga perak, dan empat gangsa – satu peningkatan mendadak berbanding edisi 2021 di Vietnam yang hanya menyaksikan pungutan satu emas dan satu perak. Pada edisi 2023 di Kemboja, acara muay thai tidak dipertandingkan, menjadikan pencapaian kali ini lebih bermakna.

Kejayaan di Bangkok bukan sahaja mengangkat nama atlet muda seperti Miki dan Angie, tetapi juga menandakan kebangkitan muay thai Malaysia di pentas serantau. Dengan sokongan berterusan daripada keluarga, jurulatih, dan persatuan, skuad muay thai negara diyakini mampu mencipta lebih banyak kejayaan di kejohanan dunia selepas ini.