sukan

Reaksi Jonassen berkenaan pemain perseorangan negara

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan melakukan rombakan pada sektor perseorangan bagi memastikan pemain negara dapat tampil lebih garang pada tahun 2026 berbanding musim lalu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen berkata, perkara itu dilakukan untuk memperkukuhkan pembangunan pemain secara menyeluruh selepas penilaian terperinci dilakukan.

Katanya, untuk memastikan lebih efektif dan berdaya saing, beberapa pemain dan barisan jurulatih akan dibawa masuk demi memastikan Malaysia kembali menjadi pesaing utama.

“Secara keseluruhan bagi 2026, akan berlaku beberapa perubahan struktur dalam sektor perseorangan selepas saya menilai keperluan semasa serta apa yang diperlukan pada masa hadapan, termasuk dari segi jumlah pemain.

“Saya mahu bersikap proaktif, bukan sekadar bertindak balas terhadap situasi. Sebab itu kami sedang melakukan persediaan dan membuat beberapa penyesuaian. Apabila semuanya sudah bersedia, saya akan berkongsi secara terperinci, namun perubahan struktur kejurulatihan termasuk kemasukan jurulatih baharu akan dilaksanakan,” katanya.

Justeru, jurulatih kelahiran Denmark itu memaklumkan bahawa ketika ini segala proses ke arah itu sedang dilakukan dan akan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada BAM sebelum ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Ia akan dilaksanakan secepat mungkin, namun keutamaan saya adalah mendapatkan jurulatih yang tepat pada masa yang sesuai. Proses itu sedang berjalan dan setakat ini semuanya bergerak dengan lancar.

“Saya berharap dapat berkongsi perkara ini kepada umum, namun ia perlu dimaklumkan secara dalaman terlebih dahulu supaya jurulatih sedia ada memahami perubahan yang bakal berlaku,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan meningkatkan kerjasama daripada pemain junior sehingga senior agar kesinambungan itu dapat dilakukan dengan lebih lancar, membentuk kesefahaman yang baik serta memahami corak permainan yang ingin diterapkan.

“Pendekatan saya kekal dengan konsep satu pasukan besar melibatkan perseorangan lelaki dan wanita, serta peringkat junior dan senior. Inilah satu-satunya cara untuk membangunkan pemain dan menyediakan laluan yang jelas daripada peringkat awal junior hingga ke potensi bertaraf dunia,” kata Jonassen.