KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen mengambil pendekatan realistik dalam menilai peluang Leong Jun Hao dan Justin Hoh meraih pingat dalam acara perseorangan lelaki di Sukan SEA Thailand bulan depan.
Walaupun mengharapkan pingat daripada dua pemain itu, Jonassen secara terbuka mengakui kedudukan ranking mereka ketika ini masih belum cukup kukuh berbanding pencabar utama dari Asia Tenggara.
“Kita perlu ingat bahawa mereka bukan dalam kelompok empat terbaik. Itu bermakna, untuk meraih pingat, mereka perlu menewaskan salah seorang daripada empat pemain paling tinggi ranking dalam kejohanan itu.
“Kalau saya kata saya mahu pingat, memang saya mahu. Tetapi saya juga perlu realistik. “Jika laluan ke pingat bermakna perlu menewaskan bekas juara dunia 2023 (Kunlavut Vitidsarn), ia pastinya cabaran yang sangat besar,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Ketika ini, Jun Hao menghuni ranking ke-28 dunia manakala Justin di ranking ke-36.
Senarai empat terbaik Asia Tenggara pula dikuasai bintang Thailand, Kunlavut Vitidsarn (ke-3 dunia), Loh Kean Yew dari Singapura (ke-10), Alwi Farhan dari Indonesia (ke-17) dan Jason Teh dari Singapura (ke-19).
Kunlavut juga pernah memenangi emas Sukan SEA pada edisi 2021 di Vietnam manakala Ken Yew dua kali memenangi perak pada 2019 dan 2021.
Jonassen berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan Jun Hao dan Justin menjalani persiapan rapi bagi mengurangkan jurang dengan pemain elit rantau ini.
“Kami percaya mereka boleh tampil dengan keputusan yang kuat, sama ada individu atau berpasukan. Fokus kami ialah apa yang boleh dikawal iaitu latihan harian, intensiti, disiplin, supaya mereka benar-benar bersedia apabila tiba masanya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Jonassen menegaskan keputusan menarik diri Jun Hao dan Justin daripada saingan Terbuka Australia minggu ini bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya strategi jangka panjang bagi memastikan mereka tampil lebih mantap di Thailand.
“Saya tidak lihat ia sebagai hukuman. Ini lebih kepada penilaian proses yang mereka lalui – prestasi semasa, isu yang muncul dan keperluan untuk memperbaiki keadaan.
“Kadang-kadang kita perlu ubah perancangan apabila keputusan awal tidak seperti diharapkan. Kami rasa langkah terbaik adalah kembali dan mempunyai tambahan seminggu bagi menjalani latihan intensif untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.
Jun Hao ketika ini bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tersingkir di pusingan pertama sebanyak lima kejohanan berturut-turut sejak September lalu bermula di Terbuka Korea, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo di Jerman dan Masters Kumamoto, Jepun minggu lalu.
Sementara itu, Justin turut berdepan prestasi tidak menentu apabila tewas dua kali berturut-turut di pusingan pertama di Masters Korea dan Masters Kumamoto.
Sebelum itu, dia hanya melangkah ke suku akhir Malaysia Super 100 biarpun diletakkan selaku pilihan kedua.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan SEA adalah menerusi Lee Zii Jia pada edisi 2019 di Filipina.
Pada edisi terakhir di Kemboja dua tahun lalu menyaksikan Jun Hao dan Lee Shun Yang berkongsi pingat gangsa selepas kedua-dua wakil negara berkenaan terkandas di separuh akhir.