sukan

Reaksi Jun Hao selepas tamat aksi selama 78 minit

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui sudah memberikan segalanya di gelanggang namun akur apabila tewas kepada bintang China, Li Shi Feng pada aksi suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Dalam pertarungan yang berlangsung selama 78 minit di Hong Kong Coliseum, Jun Hao yang menduduki ranking ke-23 dunia tunduk dalam pertarungan tiga set 20-22, 21-14, 20-22 kepada pemain nombor empat dunia itu.

Jun Hao yang berjaya meraih mata akhir pada kedudukan 20-19 di set penentuan bagaimanapun gagal menutup perlawanan apabila Shi Feng bangkit menyamakan kedudukan sebelum menoktahkan kemenangan 22-20.

“Apa yang saya rancang memang sudah keluar. Tapi akhirnya hanya tinggal satu dua mata yang membezakan.

“Masih ada beberapa perkara lagi yang saya belum cukup baik,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ditanya sama ada faktor gugup menjadi punca kegagalan memanfaatkan peluang berkenaan, Jun Hao menegaskan dia sudah cuba habis-habisan.

“Saya tidak rasa gugup. Pada saat akhir pun saya sudah cuba paksa, saya buat apa yang saya ada dan apa yang saya tak sangka pun sudah cuba. Cuma rezeki tidak memihak kali ini,” katanya.

Mengambil sisi positif, Jun Hao mahu segera melakukan pemulihan fizikal dan mental sebelum turun beraksi di Masters China minggu depan dengan misi untuk bangkit.

“Saya hanya perlu kekalkan apa yang ada dan gunakan beberapa hari ini untuk pemulihan. Harapnya di China nanti saya boleh cuba lagi dan dapat hasil yang lebih baik,” jelasnya.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan terus memihak kepada Shi Feng yang kini mencatat enam kemenangan daripada tujuh pertemuan ke atas Jun Hao.