sukan

Reaksi jurulatih Terengganu FC selepas tumbang kepada Imigresen FC

BATU KAWAN: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali mengakui kegagalan mengekalkan fokus terutama pada babak kedua perlawanan menjadi punca skuad kendaliannya tewas 1-2 kepada Imigresen FC pada aksi pertama Pusingan 16 Terbaik Piala FA di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini, semalam.

Jurulatih berusia 49 tahun itu berpandangan, sikap terlalu mengambil mudah membuatkan rentak permainan serta taktikal yang telah diatur kem pelawat terganggu sebelum mereka dihukum pasukan tuan rumah pada penghujung perlawanan.

“Kita terlalu mengambil mudah, menyebabkan kita hilang fokus. Kita hilang konsentrasi terutama apabila memasuki babak kedua perlawanan sehingga kita dihukum pada minit-minit terakhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Badrul ketika diminta mengulas mengenai dua jaringan TFC yang masing-masing dibatalkan kerana berlaku kekasaran dan ofsaid berkata, walaupun tidak melihat situasi tersebut dengan jelas, beliau menghormati keputusan pengadil.

“Sebenarnya saya tak nampak sangat bagaimana kejadian itu berlaku, saya kena lihat semula apabila balik nanti, tetapi kita hormat keputusan yang dibuat dan kita sudah tidak boleh ubah keputusan berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tetap optimis peluang skuad Penyu mencipta kebangkitan masih terbuka apabila turun selaku tuan rumah pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 13 September ini.

“Apa pun kita masih ada 90 minit di Gong Badak saya harap pemain dapat memperbaiki kelemahan khususnya semasa bertahan dan menyudahkan peluang di hadapan gawang dan yang penting kita tidak bolos lagi.

“Sudah tentu ada kelebihan apabila beraksi di laman sendiri. Saya mahu pemain belajar daripada kesilapan dan kembali bangkit,” katanya.

Badrul dalam masa sama menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu dibayangi kekalahan itu kerana tumpuan mereka kini terarah kepada saingan Liga Super menentang DPMM FC di Brunei Jumaat ini.

“Kita perlu melihat ke hadapan. Kita lupakan kekalahan pertama ini. Saya harap pemain cepat belajar dan segera bangkit supaya kita terus dapat mengutip mata di Brunei nanti, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Yan Mabella meletakkan skuad Penyu di hadapan pada minit ke-50 sebelum Rafael Holstein merapatkan kedudukan pada minit ke-54 namun ketika aksi seakan-akan berakhir seri, Joao Pedro muncul wira tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.