ALOR SETAR: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali jelas kecewa apabila skuadnya gagal meraih sebarang mata untuk dibawa pulang selepas tewas 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.
Menerusi penampilan ketiganya sebagai ketua jurulatih bersama pembantunya, Hairuddin Omar, Badrul Afzan seolah masih mencari rentak terbaiknya untuk kembali bangkit selepas turut tercicr mata ketika seri 1-1 menentang PDRM FC pada 4 Oktober lalu di laman sendiri.
“Secara keseluruhan pemain beri aksi terbaik mereka pada perlawanan ini tetapi disebabkan faktor kelekaan dalam situasi bola mati, menyebabkan kami dibolosi pada babak pertama.
“Walaupun kami menguasai babak pertama dan kedua, apabila mendapat peluang kami masih gagal melakukan penyudah untuk menghasilkan gol.
“Sudah dijangkakan kerana dalam bola sepak ini, walaupun pihak lawan bermain dalam keadaan masalah gaji, apabila dalam padang mereka sudah tak ingat lagi pasal gaji itu.
“Cuma saya ingatkan pemain sebelum ini supaya jangan mengambil mudah dan sentiasa waspada dengan setiap ancaman Kedah pada perlawanan ini,” kata Badrul Afzan.
Badrul Afzan menuntut skuadnya mempertajamkan lagi aspek penyudah yang dilihat merupakan penyebab utama gagal menghasilkan gol selepas memiliki peluang terbaik.
“Masalah yang dihadapi selepas saya mengambil alih dua perlawanan sebelum ini adalah penyerang tidak dapat menghasilkan gol walaupun mencipta peluang, tapi tidak dapat menyudahkannya. Dalam bola sepak kita menguasai perlawanan tetapi di hujung perlawanan kita pula tewas dan bagi saya itu cukup mengecewakan.
“Ada enam pemain skuad kebangsaan dalam pasukan, cuma saya dapat skuad penuh hanya sehari sebelum perlawanan apabila mereka baru sahaja kembali bersama pasukan. Jadi saya perlukan masa untuk menyesuaikan dengan corak permainan yang dirancang.
“Kami juga mengambil risiko untuk menurunkan pemain terbaik pada ketika ini dan dengan penyerang yang baru saya kenali, saya juga yakin mereka mampu menghasilkan gol selepas ini.
sumber:-BH
“Sudah tentu banyak kerja rumah, saya perlu ambil sedikit masa untuk saya dapat membuat kesesuaian dengan pemain mengikut apa yang saya mahukan,” katanya.