sukan

Reaksi ketua jurulatih JDT selepas layak ke separuh akhir Piala FA

JOHOR BAHRU: Faktor kepenatan nyata menjejaskan rentak permainan barisan pemain Johor Darul Ta’zim apabila sekadar menang 3-0 ke atas Penang FC dalam aksi timbal balik suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendalinya, Xisco Munoz menegaskan jadual padat yang diharungi barisan pemain Harimau Selatan menyebabkan mereka bagaikan hilang konsentrasi apabila berada di kawasan benteng Penang FC dan tidak mampu melakukan penyudah lebih efektif.

“Salah satu perkara yang kami hadapi dalam perlawanan itu, apabila pemain keletihan ketika berada di kawasan benteng lawan, ada ketika agak sukar untuk membuka permainan dan seolah-olah hilang tumpuan dan senario itu perlu diperbaiki segera.

“Apa yang penting bagi kami adalah berusaha membuka permainan dengan lebih pantas, tidak dinafikan kami memiliki peluang menambah jaringan dan tahu untuk menyudahkannya tapi apabila faktor keletihan melanda maka keputusan yang diambil tidak tepat selain berdepan pemain lawan yang beraksi secara bertahan.

“Sudah tentu saya berpuas hati dengan gol yang dijaringkan menerusi `set-piece’ yang dirancang, dan untuk lebih mantap bagi menghadapi aksi seterusnya kita perlu memahami apa yang perlu dilakukan dan perlu berusaha melebihi apa yang dimahukan serta mengekalkan momentum permainan,” kata Munoz.

Dalam pertembungan itu, Bergson da Silva membuka jaringan pada minit ke-38, diikuti Jonathan Silva (min-40) dan Eddy Israfilov melengkapkan kemenangan Skuad Harimau Selatan untuk mara ke separuh akhr dengan agregat 5-1 ke atas skuad kendalian Wan Rohaimi Ismail.

Ditanya berkenaan lawan JDT pada separuh akhir – Kuching City FC, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dibarisan pemain berkualiti dan tidak menafikan akan berdepan kesukaran apabila bertandang ke Stadium Negeri, Petra Jaya, awal bulan November pada aksi pertama.

“Sudah tentu ia perlawanan sukar bagi kami, malah kami pernah menentang Kuching City dan hanya menang 1-0. Kami akan membuat persiapan rapi untuk berdepan mereka.

“Sebelum aksi separuh akhir, kami ada perlawanan penting yang menanti – berdepan Terengganu FC dalam saingan Liga Super di tempat lawan, Jumaat ini dan aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shanghai Shenhua, 5 November ini,” katanya.