sukan

Reaksi Ketua Jurulatih Sabah FC selepas berjaya ikat Selangor di Likas

Sabah FC tidak gentar untuk berdepan dengan Selangor FC pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama di Stadium Likas, malam tadi.

Pengendalinya, Juan Torres Garrido berkata, walaupun berdepan di gelanggang lawan pada 9 September ini, beliau yakin anak buahnya mampu memberikan persembahan yang baik seperti pada perlawanan pertama.

Katanya, walaupun Selangor dianggap pasukan yang lebih baik berbanding Sabah, pemain Sang Badak membuktikan mereka mempunyai persamaan dalam banyak aspek.

“Perasaan saya sepanjang perlawanan malam ini adalah baik. Kita berdepan dengan pasukan yang bagus, yang dikatakan pasukan yang lebih baik berbanding kita.

“Tapi, kita menyamai mereka dalam banyak aspek dan berdepan dengan mereka secara bersemuka. Jadi, kita perlu melakukan perkara yang sama pada aksi kedua.

“Jika tidak, jika kita takut, mereka pasti akan menewaskan kita,” kata Garrido pada sidang media selepas perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah dan Selangor berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 sebagai bekalan untuk ke perlawanan kedua timbal balik yang dijadualkan di Stadium MBPJ Petaling Jaya, 9 September ini.

Mengulas perlawanan itu, Garrido berkata Sang Badak sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang dan cubaan menarik dicipta anak buahnya sepanjang permainan.

“Saya fikir kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini, jadi kita perlu memperbaiki perkara itu. Kita mencipta peluang yang mencukupi dalam permainan terbuka untuk menjaringkan gol.

“Jika kita sedikit lebih bernasib baik, kita boleh menamatkan perlawanan dengan kelebihan,” katanya.

Berikutan itu, katanya beliau perlu melihat semula kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya untuk berdepan perlawanan kedua nanti.

Katanya, anak buahnya bermain dengan baik dan tidak didominasi pasukan pelawat pada perlawanan malam tadi.

“Kita ada masa lagi untuk menyemak semula perlawanan malam ini dan buat masa ini, saya fikir kita bermain dengan agak baik, menggunakan gaya permainan kita.

“Kita tidak berasa didominasi di laman sendiri oleh pasukan seperti Selangor,” tambahnya.