sukan

Reaksi Morales selepas berjaya bantu kemenangan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales meluahkan rasa gembira selepas membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Laos dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.

Morales yang diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan berjaya meledak dua gol, sekali gus menjadi watak utama kemenangan besar pasukan kendalian Peter Cklamovski itu.

“Yang paling penting, kami menunjukkan karakter sebenar pasukan pada separuh masa kedua dan cuba mengubah permainan untuk menang. Itu yang paling penting buat kami semua. Sudah tentu saya sangat gembira dengan keputusan ini,” katanya selepas perlawanan.

Menurutnya, kemenangan itu hadir hasil kerja keras dan semangat berpasukan yang tinggi ditunjukkan semua pemain di atas padang.

“Kami memang layak menang. Kami mencipta banyak peluang dan saya tahu gol akan datang. Saya hanya perlu berada di posisi yang betul dan yakin dengan diri sendiri.

“Dua gol ini sangat bermakna kerana saya benar-benar perlukan ia untuk meningkatkan keyakinan saya serta memberi sumbangan kepada pasukan,” katanya yang kali terakhir meledak buat skuad negara ketika aksi menentang Korea Selatan di Piala Asia 2023 di Qatar.

Morales turut memuji rakan sepasukan yang bekerja keras sepanjang perlawanan dan menegaskan kemenangan besar itu adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan.

“Semua pemain memberikan komitmen terbaik dan saya tahu saya juga perlu menambah usaha untuk membantu pasukan. Saya gembira kerana dapat melakukan tugas saya seperti semua orang. Apabila semua melakukan peranan dengan betul, hasilnya pasti datang,” katanya.

Dalam aksi itu, pasukan negara terpaksa bangkit di babak kedua selepas ketinggalan menerusi jaringan Chanthavixay Khounthoumphone.

Selepas bersambungnya babak kedua, kebangkitan dramatik dipamerkan pasukan negara dengan lima gol yang disumbangkan masing-masing menerusi sepakan percuma Faisal Halim sebelum Morales menyumbat dua gol disusuli Paulo Josue dan jaringan sendiri pemain lawan, Khammanh Thapaseut.

Tambah penyerang kelahiran Colombia itu lagi, kemenangan berkenaan memberi suntikan semangat kepada Harimau Malaya untuk terus mengekalkan rentak positif dalam baki kempen kelayakan.

“Hasilnya jelas kami menang besar dan yang paling penting, kami berjaya membawa pulang tiga mata penuh. Ia sesuatu yang sangat positif untuk pasukan dan juga penyokong,” katanya.