sukan

Reaksi Nadaka selepas tumbangkan Rifdean menerusi KO

Perjalanan Rifdean Masdor di ONE Samurai 4 berakhir dengan kekecewaan apabila petarung negara itu tewas kepada juara dunia Yoshinari Nadaka menerusi KO pada pusingan kedua di Ariake Arena, Tokyo.

Namun, cabaran Rifdean sebenarnya sudah bermula sehari sebelum dia memasuki gelanggang.

Atlet kelahiran Sarawak itu berjaya mencapai had berat 115 paun atau 52.16 kilogram bagi divisyen atomweight, tetapi gagal memenuhi syarat ujian hidrasi ONE Championship.

Kegagalan tersebut menyebabkan Rifdean kehilangan peluang untuk menjadi rakyat Malaysia kedua memegang gelaran dunia ONE Championship sebelum pertarungan bermula.

Aksi menentang Nadaka akhirnya tetap diteruskan menerusi persetujuan catchweight pada 118.6 paun atau 53.8kg.

Sebagai sebahagian daripada keadaan berkenaan, Rifdean juga terpaksa menyerahkan 50 peratus wang pertarungannya kepada Nadaka.

Walaupun melalui situasi sukar, Rifdean tidak memasuki gelanggang sekadar untuk melengkapkan pertarungan.

Dia tampil agresif pada pusingan pertama dan berjaya memberikan tekanan kepada petarung Jepun itu.

Kesan serangannya cukup besar sehingga Nadaka mendedahkan hidungnya patah pada pusingan pembukaan.

“Untuk pertarungan ini, saya mengalami kecederaan. Pada pusingan pertama, hidung saya patah,” kata Nadaka.

Namun, pengalaman Nadaka membolehkannya kekal tenang.

Juara dunia itu berjaya menjatuhkan Rifdean menerusi tumbukan kiri dalam pusingan pertama, tetapi wakil Malaysia kembali berdiri dan meneruskan perlawanan sehingga tamat pusingan.

Rifdean kemudian memulakan pusingan kedua dengan terus mencari peluang menyerang.

Ketika cuba melakukan gerakan memusingkan badan, tindakannya berjaya dibaca Nadaka.

Petarung Jepun itu tidak mensia-siakan peluang apabila melancarkan tendangan ke kepala yang tepat mengenai dagu Rifdean.

Wakil negara jatuh dan tidak mampu bangkit untuk meneruskan pertarungan.

Pengadil Olivier Coste kemudian menghentikan aksi pada masa 2 minit 12 saat pusingan kedua.

Nadaka selepas kemenangan itu turut memberikan penghormatan kepada Rifdean dan menyentuh mengenai kesukaran yang dilalui petarung Malaysia sebelum pertarungan.

Beliau berpandangan isu berkaitan berat badan dan proses menjelang pertarungan mungkin memberi kesan kepada keadaan fizikal lawannya.

“Semua, sila berikan tepukan gemuruh untuk Rifdean juga,” kata Nadaka.

Kemenangan tersebut memastikan Nadaka terus berada di puncak divisyen atomweight, selain membawa pulang bonus prestasi pertama sepanjang kariernya bersama ONE Championship bernilai 15 juta yen atau kira-kira RM388,000.

“Ini bonus pertama saya. Saya sangat gembira kerana kami mendapat sokongan daripada anda semua,” katanya.

Bagi kem Malaysia, hari di Ariake Arena turut berakhir tanpa kemenangan apabila Hayatun Najihin “Shadowcat” Radzuan tewas kepada Itsuki Hirata menerusi keputusan sebulat suara dalam aksi MMA wanita atomweight.

Rifdean mungkin pulang tanpa kemenangan dan tanpa peluang merebut tali pinggang, tetapi kemampuannya mencederakan serta memberikan tekanan kepada Nadaka pada pusingan pertama tetap menjadi antara perkara positif daripada pertarungan tersebut.