KUALA LUMPUR: Berbaki enam hari sebelum bermulanya saingan Piala Asean Bawah 23 Tahun (B-23) di Jakarta, Indonesia, barisan kejurulatihan perlu memanfaatkan sebaiknya tempoh yang ada bagi memperbaiki pasukan.
Pengendali pasukan, Nafuzi Zain berkata, walaupun anak didiknya melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas dua pasukan Liga Super dalam aksi pemanas badan, ia masih belum menggembirakan bekas jurulatih Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu.
Katanya, kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC dan 4-1 menewaskan Melaka FC, malam tadi, bukanlah gambaran sebenar kekuatan pasukannya ketika ini.
“Walaupun kita menang, saya melihat masih banyak aspek perlu diperbaiki dan saya dapati pasukan belum berada pada tahap terbaik.
“Kelemahan yang ada perlu diperbaiki segera kerana cabaran sebenar dalam kejohanan nanti jauh lebih sukar.
“Kita masih ada masa dan fokus sekarang adalah memperbaiki kelemahan serta meningkatkan persefahaman pasukan.
“Saya percaya pemain ini ada potensi besar dan kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Melaka FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau mengakui berdepan tekanan bagi menyiapkan pasukan dalam masa singkat, namun ia perkara normal bagi seseorang jurulatih apatah lagi ini adalah pengalaman baharu buatnya menguruskan pasukan kebangsaan.
“Ini adalah tanggungjawab besar dan pengalaman baharu buat saya. Persiapan pasukan kebangsaan berbeza dengan kelab terutama dari segi masa yang terhad untuk membentuk keserasian dalam pasukan.
“Tapi saya rasa teruja dan gembira dapat bekerja dengan pemain muda ini. Mereka menunjukkan komitmen tinggi, cuma dari segi tempo permainan dan keserasian, masih banyak ruang untuk ditingkatkan,” ujarnya.
Harimau Muda dijadual berdepan satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC pada Jumaat ini sebelum bertolak ke Indonesia bagi menghadapi kejohanan sebenar.
sumber:- HM
Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia tiga hari kemudian.